'PRN dah selesai, tiba masa taut ukhuwah, perpaduan' - Ahmad Zahid
SHAH ALAM - Sudah tiba masa untuk mempertautkan ukhuwah dan memperkukuhkan perpaduan bagi membangunkan negeri serta negara secara bersama.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia kerana pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri telah pun selesai.
“Ini masanya untuk kita berganding bahu membangunkan kehidupan yang harmoni dengan semangat saling hormat menghormati, berempati dan menjaga hak serta keadilan agar tertegaknya sebuah negara yang stabil dan sejahtera.
“Jadikanlah firman ALLAH SWT yang saya kongsikan ini (Surah Al-Hujurat: Ayat 10) sebagai satu pegangan dan landasan utama untuk kita kembali bertaut setelah baharu selesai fasa memilih wakil kepada rakyat untuk menggalas amanah yang diberikan.
“Islam menganjurkan kita untuk berlapang dada dan mencari damai agar kita bersatu mengerah segala kudrat serta tenaga untuk bergerak secara kolektif dalam mewujudkan perubahan positif yang menyumbang ke arah kebaikan bersama,” katanya di Facebook pada Jumaat.
Keputusan PRN lalu menyaksikan Barisan Nasional (BN) mengalami kekalahan terburuk dalam sejarah apabila parti itu hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi.
Gabungan bersama Pakatan Harapan (PH) itu hanya menang 14 kerusi di Negeri Sembilan, masing-masing dua kerusi di Selangor dan Pulau Pinang serta satu di Kelantan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!