KPDN harap peruntukan tambahan teruskan legasi Jualan Rahmah

Amirzan menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas kepada penerima daripada golongan asnaf pada program berkenaan.
Amirzan menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas kepada penerima daripada golongan asnaf pada program berkenaan.
A
A
A

MUAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengharapkan peruntukan tambahan daripada kerajaan bagi meneruskan legasi Jualan Rahmah ke seluruh negara.

Pemangku Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, peruntukan berkenaan juga diharap dapat membantu memperluaskan lagi konsep jualan berkenaan (Rahmah) pada skala yang lebih meluas.

"Hari ini saya berkesempatan hadir ke kawasan DUN Simpang Jeram bagi melihat sendiri pelaksanaan salah satu Jualan Rahmah yang diadakan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

"Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah meluluskan peruntukan sebanyak RM50 juta sebagai tambahan kepada inisiatif sedia ada yang dilaksanakan oleh pihak KPDN hasil inisiatif dan ikhtiar daripada Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub sendiri pada Januari lalu.

"Hari ini kita sampai ke DUN Simpang Jeram; kawasan arwah sendiri dan baru-baru ini kita bincang di peringkat kementerian dalam tempoh pemangkuan saya ini bahawa melihat kepada sambutan luar biasa daripada masyarakat kita di seluruh negara, kita akan syorkan kepada pihak Kementerian Kewangan agar peruntukan ini dapat ditambah," katanya.

Amirzan meninjau jualan barangan basah pada program berkenaan.
Amirzan meninjau jualan barangan basah pada program berkenaan.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena program Walkabout Jualan Rahmah DUN Simpang Jeram @ JDT Corner Big Screen Southern Tigers di Dataran Cenderawasih, Sungai Abong pada Jumaat.

Sebelum itu, pada Bajet 2023, Kementerian Kewangan (MOF), telah menyalurkan peruntukan sebanyak RM100 juta kepada KPDN sebelum ditambah RM50 juta lagi oleh Perdana Menteri, 30 Julai lalu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Amirzan berkata, peruntukan tambahan itu akan dicadangkan pada sesi libat urus bersama pihak MOF minggu hadapan untuk inisiatif Bajet 2024.

"Kita akan cadangkan bukan sahaja program Jualan Rahmah dapat diteruskan tetapi peruntukan ditambah daripada Rm100 juta, RM150 ke RM200 juta kalau boleh dipertimbangkan supaya tahun depan kita dapat melaksanakan lebih banyak Jualan Rahmah.

"Contohnya, Jualan Rahmah dalam premis, kedua Jualan Rahmah di luar premis dan yang ketiga Jualan Rahmah yang bergerak (mobile).

"Insyaa-ALLAH, apabila Perdana Menteri membentangkan bajet Oktober depan dan kita harap bila dibahaskan, Ahli Parlimen Ledang (Syed Ibrahim Syed Noh), dan Ahli Parlimen Bakri (Tan Hong Pin) akan sokong," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!