Tak pernah kekok kejut anak bangun sahur

Mohd Firdaus membaca Iqra tiga dengan lancar ketika ditemui di rumahnya di Pekan Tunjang, di sini hari ini.
Mohd Firdaus membaca Iqra tiga dengan lancar ketika ditemui di rumahnya di Pekan Tunjang, di sini hari ini.
A
A
A

TUNJANG - Pasangan suami isteri Lim Hun Kheng, 44 dan Wan Dee Fandesa,41, tidak pernah kekok meneruskan rutin mengejutkan anak mereka, Mohd Firdaus Hong Abdullah,12, untuk bangun sahur pada Ramadan kali ini.

Hun Kheng berkata, seperti Ramadan yang lalu, isterinya akan mengejutkan anak mereka bangun sahur pada jam 5 pagi setiap hari.

Katanya, isterinya akan menyediakan menu kegemaran anak mereka iaitu nasi goreng sebelum dia solat subuh dan bergerak ke sekolah.

"Walaupun berbeza agama, saya tak halang dia menunaikan kewajipan sebagai orang Islam. Saya nak dia membesar jadi manusia berguna dan taat kepada perintah Tuhan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Pekan Tunjang di sini, hari ini.

Menurutnya, dia dan isteri sentiasa memberi sokongan dan semangat kepada anak sulung mereka itu untuk mempelajari agama Islam.

"Bila tiba bulan puasa ni, kami sekeluarga akan elakkan makan di depan dia.

"Waktu petang pula saya akan bawa dia ke bazar Ramadan untuk beli juadah berbuka. Selalunya dia akan beli ayam bakar, sebab itu saja makanan kegemaran dia waktu berbuka," katanya.

Artikel Berkaitan:

Hun Kheng memakaikan baju Melayu yang disumbangkan pihak sekolah kepada anaknya.
Hun Kheng memakaikan baju Melayu yang disumbangkan pihak sekolah kepada anaknya.

Sementara itu, Mohd Firdaus atau nama asalnya Lim Ching Hong, seronok menjalani ibadah puasa pada tahun ini.

"Tahun ini kali kedua saya puasa, paling seronok saya dapat tunai solat sunat Tarawih di masjid atau surau dengan kawan-kawan.

"Lepas ni tak sabar nak tunggu raya pula. Boleh ikut kawan-kawan jalan kutip duit raya sekeliling kampung dan makan macam-macam kuih raya," kata pelajar tahun enam Sekolah Kebangsaan Hakim Teh, di sini.

Ditanya mengenai kebolehannya membaca al-Quran, Mohd Firdaus berkata, dia kini sudah menganjak ke Iqra tiga dan telah menghafal bacaan di dalam solat.

"Saya juga suka dengar kisah-kisah nabi, dan cerita berkaitan agama Islam. Banyak pengajaran yang saya dapat.

"Walaupun saya baru setahun jadi saudara baru, tapi kawan-kawan dan guru-guru selalu bagi nasihat dan bimbingan. Sekolah pun dah belikan sepasang baju Melayu untuk dipakai masa hari raya nanti," katanya.

Aziz (dua,kanan) mengajar Mohd Firdaus membaca Iqra sambil diperhatikan Hun Kheng.
Aziz (dua,kanan) mengajar Mohd Firdaus membaca Iqra sambil diperhatikan Hun Kheng.

Sementara itu, datuk angkatnya, Aziz Isa, 61, berkata, jika ada masa terluang, Firdaus akan berkunjung ke rumahnya untuk belajar agama.

"Saya akan ajak dia solat jemaah termasuklah belajar agama,

"Firdaus ini adalah seorang yang cepat belajar, inilah kelebihan yang ALLAH SWT berikan kepada dia.

"Dia dapat hafal surah al-Fatihah dalam tempoh tak sampai seminggu. Insya-ALLAH saya akan berusaha bawa dia kenal Islam dengan lebih mendalam lagi supaya dia dapat berbakti kepada agama dan bangsa di masa hadapan," katanya.

Tahun lalu, Sinar Harian melaporkan mengenai Mohd Firdaus yang tidak mendapat halangan daripada ibu bapanya untuk memeluk Islam pada usia 11 tahun.

Malah Firdaus sudah berkhatan sejak berada di darjah dua dan mendapat gred A dalam mata pelajaran Pendidikan Islam pada ketika itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!