10 Exco Kedah dijangka angkat sumpah Isnin ini
ALOR SETAR - Majlis pelantikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kedah dijangka diadakan pada Isnin ini.
Berdasarkan makluman dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kedah, majlis angkat sumpah jawatan Exco akan berlangsung di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Istana Anak Bukit pada jam 10 pagi.
Seramai 10 Exco akan dilantik dalam kalangan 21 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas, 11 daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan wakil tunggal Gerakan yang menang dalam pilihan raya negeri (PRN) Sabtu lalu.
Begitupun, sehingga kini barisan Exco masih menjadi tanda tanya dan belum diumumkan secara rasmi.
Dalam sidang media pada Isnin, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan gandingan muka lama dan baharu dijangka membarisi kabinet Kedah selain kemungkinan berlaku rombakan portfolio mengikut kesesuaian semasa.
Dua Exco yang dilantik pada penggal lalu tidak tersenarai berikutan tidak bertanding kerusi DUN dalam PRN kali ini selepas menjadi ahli Parlimen.
Exco Kanan sebelum ini, Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail yang memegang portfolio Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains Teknologi dan Inovasi kini merupakan Ahli Parlimen Kubang Pasu.
Sementara itu, bekas Exco Pertanian dan Industri Makanan, Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India, Datuk Azman Nasrudin tidak mempertahankan kerusi DUN Lunas selepas menang di Parlimen Padang Serai.
Dua lagi bekas Exco tidak dicalonkan dalam PRN, iaitu Mohd Firdaus Ahmad (Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Usahawan dan Koperasi) selain Dr Robert Ling Kui Ee (Perumahan, Alam Sekitar, Perpaduan, Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam).
Lima Exco ‘senior’ dijangka dikekalkan dalam Kabinet baharu Kedah, empat mewakili Pas, iaitu Datuk Dr Mohd Hayati Othman, Datuk Siti Aishah Ghazali, Datuk Wan Romani Wan Salim dan Datuk Najmi Ahmad.
Sementara wakil dari Bersatu yang dijangka turut kekal ialah Datuk Halimaton Shaadiah Saad yang memegang portfolio Wanita, Keluarga, Masyarakat dan Kebajikan.
Kemungkinan Mohd Hayati bakal diangkat sebagai Exco kanan menggantikan tempat Ku Abd Rahman berikutan ADUN Tokai itu berpengalaman luas dalam parti mahupun pentadbiran negeri.
Lima lagi kekosongan bakal dibarisi wajah baharu namun tidak menolak kemungkinan ADUN Kuala Nerang, Munir Zakaria dikekalkan selepas mengambil alih tugas daripada Exco sebelum ini, Datuk Suraya Yaakob dari UMNO.
Antara nama yang disebut-sebut bakal membarisi anggota Exco Kedah, ADUN Jitra, Haim Hilman Abdullah yang berpengalaman luas dalam pendidikan dan tidak mustahil bekas Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) itu dilantik sebagai Exco Pendidikan.
ADUN Alor Mengkudu, Muhammad Radhi Mat Din juga dicanang bakal memegang portfolio Belia dan Sukan, memandangkan bekas kapten pasukan bola sepak Kedah itu pernah melakar kejayaan cemerlang dalam era kegemilangan bola sepak Kedah.
Pengalaman beliau pastinya ditagih untuk pembangunan sukan negeri bagi melahirkan lebih ramai pelapis untuk Kedah dalam semua lapangan sukan dan tidak hanya bertumpu kepada bola sepak sahaja.
ADUN Kubang Rotan, Datuk Mohd Salleh Saidin selaku Setiausaha Bahagian Bersatu Kuala Kedah antara yang layak membarisi barisan Exco. Ahli Perniagaan itu yang juga Pengerusi Yayasan Salleh Saidin dapat mewakili kuota Bersatu yang dikosongkan Exco sebelum ini.
Tidak mustahil satu lagi kekosongan bakal diisi ADUN wanita berikutan dalam penggal lalu, Kedah memperuntukkan 30 peratus kuota untuk wanita menganggotai pentadbiran negeri.
Hanya berbaki dua daripada empat ADUN wanita yang menang dalam PRN lalu menjadi pilihan, iaitu ADUN Pengkalan Kundor, Mardhiyyah Johari (Pas) dan ADUN Ayer Hangat, Shamsilah Siru (Bersatu).
Bagi mewakili suara bukan Melayu, wakil tunggal dari Gerakan, ADUN Kulim, Wong Chia Zhen turut disebut-sebut dilantik sebagai Exco untuk mengimbangi urusan pentadbiran dan kemungkinan diberikan portfolio Perpaduan, Hal Ehwal Masyarakat Cina, India dan Siam.
Spekulasi ini hanya akan terjawab pada Isnin selepas kesemua 10 Exco mengangkat sumpah jawatan di Istana Anak Bukit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!