Tuntut jawatan Exco diberi kepada ADUN PKR kaum India
SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Kota Raja menuntut jawatan Exco dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR berketurunan India bagi mewakili 'suara' masyarakat berkenaan.
Ketua Penerangannya, Roy S Nyaneswaran berkata, PKR cabang itu merayu kepada Presiden PKR yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari memberi pertimbangan sewajarnya.
"Kami berharap suara anggota (akar umbi PKR Cabang Kota Raja) dapat dipertimbangkan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Roy memberitahu, kepimpinan PKR diminta menghormati komitmen yang telah dibuat parti itu kepada masyarakat India sebelum ini.
Ujarnya, jawatan Exco yang menjaga kebajikan masyarakat India sebelum ini milik bekas ADUN Seri Andalas dari PKR, Xavier Jayakumar pada tahun 2008.
"Bagaimanapun, pada 2013 DAP telah dinyatakan bahawa jawatan itu disandang selama satu penggal, namun pada 2018 sekali lagi ia diberikan kepada DAP.
"Sepatutnya pada tahun ini, kita diberikan jaminan jawatan ini diserahkan kepada PKR semula, bagaimanapun sumber baru-baru ini memberitahu janji ini mungkin tidak dipenuhi," tegas beliau.
Menurut Roy, gabungan Pakatan Harapan (PH) diyakini dapat mengembalikan semula jawatan itu kepada ADUN PKR dalam kalangan kaum India.
"Pada masa ini, kita mempunyai sembilan pemimpin Ketua Cabang PKR India di Selangor dan ini jelas terbukti sokongan masyarakat ini kepada PKR kuat," jelas beliau.
Justeru, katanya, beliau mencadangkan agar ADUN Sentosa, Dr Gunaraj George sebagai calon bagi mengisi kekosongan Exco berkenaan.
"Dr Gunaraj mencapai majoriti undian 46,000 dan tertinggi dalam kalangan pemimpin PKR dan ADUN India di Selangor.
"Rekod prestasi beliau mengagumkan dalam kepimpinan selain berkesan dalam perkhidmatan awam serta berdedikasi seterusnya membuktikan kesesuaiannya untuk peranan ini," jelas beliau.
Menurut beliau, Dr Gunaraj juga menunjukkan prestasi cemerlang sebagai pegawai khas kepada Menteri Besar Selangor dalam menyelesaikan pelbagai hal ehwal masyarakat india seperti isu tanah, kuil dan sebagainya
"Memandangkan kemerosotan sokongan masyarakat India dalam PRN (Pilihan Raya Negeri) adalah penting bagi kepimpinan PH memperhalusi perkara ini.
"Kami bersungguh-sungguh mengesa kepimpinan PH untuk memastikan masyarakat India dalam PKR diberikan perwakilan di peringkat Exco," tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!