KDA FC tersingkir Piala Malaysia

Perak FC kembali menyusun serangan dan berjaya merapatkan kedudukan 2-1 hasil tandukan Seo Seonung pada minit ke-84. - Foto: PERAK FC
Perak FC kembali menyusun serangan dan berjaya merapatkan kedudukan 2-1 hasil tandukan Seo Seonung pada minit ke-84. - Foto: PERAK FC
A
A
A

KEDAH Darul Aman (KDA) FC gagal mara ke Suku Akhir Piala Malaysia 2023 apabila tewas agregat 3-4 kepada Perak FC pada aksi timbal balik di Stadium Darul Aman pada malam Jumaat.

Kejayaan mengatasi pelawat 2-1 di Alor Setar tidak cukup buat Sang Kenari untuk mengatasi keputusan perlawanan pertama tewas 1-3 di Stadium Perak pada 3 Ogos lalu.

Perak FC terlebih dahulu menjaringkan gol seawal minit ke-12 menerusi Luka Milunovic hasil satu serangan pantas namun dibatalkan oleh pengadil perlawanan, Razlan Joffri Ali selepas penjaga garisan mengesan pemain itu berada dalam kedudukan 'ofsaid'.

Tuan rumah bagaimanapun berjaya berada di depan 1-0 selepas Manuel Hidalgo menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-28.

Sepakan tersebut dihadiahkan oleh pengadil selepas tangan terkena pemain pelawat, Sunday Afolabi yang berusaha mengeluarkan bola daripada kotak penalti Perak FC.

Pada minit ke-55, The Bos Gaurus terpaksa bermain dengan 10 pemain selepas Ashraf dilayangkan kad merah akibat menerjah Amirbek Jurobaev.

Usaha berterusan KDA FC untuk terus menambah jaringan akhirnya muncul pada minit ke-82 bagi kedudukan 2-0 apabila percubaan Akmal Zahir terkena pemain lawan dan bola masuk ke dalam gol pelawat.

Tersentak jaringan tersebut, Perak FC kembali menyusun serangan dan berjaya merapatkan kedudukan 2-1 hasil tandukan Seo Seonung pada minit ke-84.

Artikel Berkaitan:

KDA FC berusaha untuk bangkit pada baki saingan namun pertahanan Perak FC bertungkus-lumus mengeluarkan bola dan keputusan tersebut kekal sekali gus menyaksikan pasukan pelawat mara ke peringkat suku akhir.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!