Kemasukan pendatang asing ibarat ‘kudis’ kepada negara
SHAH ALAM - Kemasukan pendatang asing ke Malaysia ibarat 'kudis' yang akan mengancam keharmonian dan kemakmuran negara sekiranya kerajaan masih lambat bertindak untuk mengubah penguatkuasaan undang-undang berkaitan pelarian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, kemasukan itu perlu disekat dengan tegas oleh kerajaan melalui pindaan akta yang lebih baik walaupun bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.
"Semua pihak harus hentikan kemasukan pendatang asing dengan mengubah undang-undang berkaitan pelarian terutama membabitkan isu Rohingya.
"Kita kena ikat mereka dengan undang-undang negara, bersikap kejam untuk melindungi diri terlebih dahulu.
"Lebih malang, tidak ada data sebenar kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) yang dikeluarkan di Malaysia jadi kita perlu mempunyai kad sendiri supaya negara boleh kuat kuasakan undang-undang agar dapat mengurangkan isu kemasukan warga asing itu," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu program Di Sebalik Isu bersama FY yang bertajuk Malaysia 'Syurga' Pendatang berlangsung di Kompleks Karangkraf pada Jumaat.
Program itu dihos Finaz Yunus dan turut menampilkan Pengerusi Surplus Pulau Pinang, Sophian Mohd Zain.
Tambah Mohd Helmy, pendatang asing yang ditahan perlu dihantar pulang ke negara masing-masing bagi menggelakkan negara menanggung lebih banyak kerugian.
"Dapat tahan (pendatang asing) tidak perlu letak di Depot tahanan, kita belanja tiket kapal terbang daripada nak tanggung kehidupan mereka.
"Kita agak terlewat untuk bertindak tetapi jika tidak melakukan apa pun dari sekarang, akan bertambah 'parah' dari kudis dan akhirnya kanser yang mana tiada lagi jalan penyelesaian," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!