Warna-warni kemerdekaan Indonesia
JAKARTA - Tarikh 17 Ogos setiap tahun merupakan ulang tahun Hari Kemerdekaan Indonesia daripada pemerintahan kolonial Belanda pada 1945.
Seperti tahun-tahun sebelumnya kecuali semasa republik itu dihambat pandemik Covid-19, sambutan kemerdekaan atau dikenali sebagai ‘tujuhbelasan’ oleh penduduk tempatan disambut dengan pelbagai aktiviti.
Upacara menaikkan bendera kebangsaan Indonesia, ‘Sang Saka Merah Putih’ sudah semestinya menjadi keutamaan sempena ulang tahun kemerdekaan ke-78 tahun ini yang bertemakan ‘Terus Melaju untuk Indonesia Maju’. Di segenap pelosok negara, orang ramai dilihat menyertai pelbagai permainan sukan rakyat termasuk memanjat tiang licin bagi mengambil hadiah di puncaknya, malah ada yang meluangkan masa bersama keluarga sempena cuti umum.
Sementara itu di Jakarta, remaja yang mencipta sensasi pada program America's Got Talent (AGT) 2023, Putri Ariani tampil membuat persembahan di Istana Merdeka.
Putri Ariani berjaya menghiburkan tetamu kehormat termasuk Presiden Joko Widodo (Jokowi) dan isterinya, Iriana serta tetamu kenamaan lain.
Ditemani ibu bapanya menuju ke piano, penyanyi berusia 17 tahun itu memulakan persembahan dengan lagu Melati Suci, ciptaan Guruh Soekarnoputra.
Putri Ariani atau nama sebenarnya, Ariani Nisma Putri yang berasal dari Riau dijangka meneruskan perjuangan di pentas separuh akhir AGT 2023 di Pasadena Civic Auditorium, Los Angelas, Amerika Syarikat (AS) pada 5 September ini. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!