Pesanan buat Aaron-Wooi Yik
BEREGU lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik perlu menganggap setiap perlawanan yang diharungi pada Kejohanan Badminton Dunia 2023 di Copenhagen, Denmark bermula Isnin ini sebagai aksi final.
Bekas jaguh beregu negara, Tan Boon Heong berkata, situasi itu mampu mendorong mereka untuk beraksi cemerlang, sekali gus berupaya mempertahankan kejuaraan yang diraih pada edisi lalu.
Menurutnya, Aaron-Wooi Yik juga perlu memberi fokus 100 peratus dalam setiap perlawanan selain mengelak melakukan kesilapan mudah yang boleh memberi kelebihan kepada pemain lawan.
“Yang paling penting buat Aaron-Wooi Yik adalah memastikan setiap perlawanan seperti aksi final. Amat penting juga buat mereka tidak melakukan kesilapan yang tidak sepatutnya.
“Saya percaya persiapan yang dilakukan sebelum ini mampu memastikan Aaron-Wooi Yik berada di landasan betul untuk mereka mempertahankan kejuaraan dunia di Denmark,” kata Boon Heong.
Diletakkan sebagai pilihan keempat kejohanan kali ini, Aaron-Wooi Yik mendapat bye pada pusingan pertama dan ujian sebenar mereka bermula dalam aksi pusingan ketiga.
Jika melepasi pusingan kedua, Aaron-Wooi Yik dijangka berdepan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020, Lee Yang-Wang Chi Lin dari Taiwan.
Justeru, Boon Heong yang merupakan naib juara Kejohanan Dunia 2010 ketika bergandingan dengan Koo Kien Kiat berharap Aaron-Wooi Yik sentiasa tenang apabila turun ke gelanggang.
“Saya rasa jika Aaron-Wooi Yik tidak mengikut rentak permainan pemain lawan dan tidak gopoh, bertemu mana-mana beregu sekalipun mereka mampu menang,” jelasnya.
Untuk rekod, prestasi Aaron-Wooi Yik dilihat belum mencapai tahap terbaik apabila mereka gagal melayakkan diri sekurang-kurangnya di peringkat separuh akhir dalam tiga kejohanan terakhir tahun ini.
Langkah Aaron-Wooi Yik tersekat di suku akhir Terbuka Australia dan Terbuka Jepun, manakala pada Terbuka Korea, mereka tersingkir seawal pusingan kedua.
Pencapaian terbaik Aaron-Wooi Yik tahun ini adalah muncul naib juara Terbuka India pada Januari dan Terbuka Indonesia pada Jun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!