Tiada jaminan mudah tembus skuad utama Chelsea
PENGENDALI Chelsea, Mauricio Pochettino enggan memberi jaminan bahawa pemain baharu yang dibeli dengan harga mahal akan mudah mendapat tempat dalam kesebelasan utama pasukan.
Pochettino berkata, kesemua pemain tersebut perlu bersaing sekiranya mahu diturunkan dalam setiap perlawanan.
Chelsea telah membuat lapan pembelian sejak pengendali dari Argentina itu mengambil alih tugas sekali gus menjadikan perbelanjaan kelab sejak musim lalu mencecah £350 juta (RM2.07 bilion).
Pemain tengah Southampton, Romeo Lavia melengkapkan perpindahan £53 juta ke Stamford Bridge pada Jumaat ketika 'nafsu' membeli pemain oleh Chelsea tidak menunjukkan tanda-tanda reda.
Moises Caicedo pula ditandatangani dari Brighton dengan rekod perpindahan Britain £115 juta pada Isnin untuk memperkukuh pilihan bahagian tengah Chelsea.
"Pemain mempunyai idea yang jelas bahawa mereka perlu bersaing untuk tempat mereka dan kemudian jurulatih yang akan menentukan siapa yang terbaik untuk setiap perlawanan.
“Bukannya jika kami menandatangani pemain dan kami membelanjakan wang yang besar, mereka pasti akan bermain. Saya tidak memberitahu Moises atau Lavia 'anda akan bermain, sama ada anda baik atau tidak'.
“Tugas saya adalah untuk berlaku adil dengan semua orang dalam skuad.
Anda menandatangani pemain dengan kontrak lapan tahun dan selepas itu dia tidak menunjukkan komitmen.
Adakah dia akan bermain? Itulah tugas kami di bahagian kejurulatihan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!