Lawan Pas dalam pilihan raya bukan bererti lawan Islam - Khairuddin
KUALA TERENGGANU - Setiausaha Eksekutif Majlis Ulama UMNO, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali membidas kenyataan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud yang mendakwa dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri itu sebagai ADUN yang melawan perjuangan Islam.
Bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus itu menegaskan bahawa berlawan dengan Pas dalam pilihan raya bukan bererti melawan Islam.
"Pas bukan satu-satunya kelompok yang mewakili Islam. Islam adalah milik pelbagai kelompok dan parti yang memperjuangkannya.
"Kita sama-sama membawa obor politik Islam dengan cara dan ijtihad yang berbeza.
"Kita sama-sama berhujah dengan dalil al-Quran dan al-Hadis apabila membawa agenda politik masing-masing," katanya di Facebook pada Jumaat malam.
Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin berkata, apabila konotasi 'lawan Islam' dijadikan asas pertembungan maka pertembungan dalam pilihan raya tidak lagi menjadi saingan tetapi peperangan yang akhirnya membawa kepada perpecahan umat Islam.
Lebih dahsyat katanya, ia boleh membawa kepada pertumpahan darah sesama Muslim.
Baru-baru ini tular hantaran video berdurasi 44 saat memaparkan Mohd Nassuruddin mendakwa dua ADUN pembangkang di Kelantan sebagai ADUN yang melawan perjuangan Islam ketika menyampaikan kuliah di Kota Bharu pada Jumaat.
Sementara itu, Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd Hasbie Muda dalam ciapan di akaun Twitternya mendakwa kenyataan Mohd Nassuruddin itu bukti gejala takfiri tak pernah surut dari Pas.
"Itupun Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari masih nafikan. Saya sedia debat!" tegasnya.
MB Kelantan yg baru memulakan hari2 awal sebagai MB dengan melabelkan 2 ADUN pembangkang di Kelantan sebagai 2 ADUN yang melawan perjuangan Islam. Kenyataan melampau ini bukti gejala takfiri tak pernah surut dari PAS. Itupun KP PAS @FadhliShaari masih nafikan. Saya sedia debat!
— Hasbie Muda (@hasbiemuda_) August 18, 2023
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!