25,000 pelajar terima manfaat kebun nuri nutrisi Bank Rakyat

Saraswathy (kiri) melihat sayuran sawi putih yang ditanam di SMK Air Kuning menerusi program Kebun Nuri Nutrisi di bawah pelaksanaan inisiatif jangkauan komuniti Bank Rakyat.
Saraswathy (kiri) melihat sayuran sawi putih yang ditanam di SMK Air Kuning menerusi program Kebun Nuri Nutrisi di bawah pelaksanaan inisiatif jangkauan komuniti Bank Rakyat.
A
A
A

TAPAH - [DIKEMAS KINI] Seramai 25,000 pelajar di institusi pendidikan seluruh negara menerima manfaat daripada program Kebun Nuri Nutrisi di bawah pelaksanaan inisiatif jangkauan komuniti Bank Rakyat.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, K Saraswathy berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sejak 2019 itu menyasarkan pelajar B40 dalam memperoleh bantuan dana berterusan menerusi pengurusan dan penjualan hasil tanaman.

Menurutnya, setakat ini 30 sekolah termasuk tiga universiti terlibat dalam program berkenaan.

"Ini satu bentuk program menyeluruh yang memberi manfaat bukan sahaja kepada murid tetapi sumbangan kepada masyarakat.

"Sebab hasil sayuran diperolehi itu, selain diagihkan kepada pelajar B40, boleh juga dijual kepada komuniti di kawasan sekitar pada harga berpatutan," katanya selepas merasmikan Kebun Nuri Nutrisi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Kuning dekat sini pada Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi Bank Rakyat, Nor Haimee Zakaria.

Saraswathy berkata, inisiatif digerakkan Bank Rakyat itu membuktikan agensi perbankan juga berupaya membantu menambah baik tahap sara diri masyarakat.

Katanya, kaedah pertanian moden yang digunakan dalam program itu antaranya fertigasi dan hidroponik dapat mencungkil minat pelajar sebagai usahawan menerusi bidang pertanian.

Artikel Berkaitan:

"Usaha ini bertepatan dengan hasrat kerajaan menokhtahkan isu kemiskinan tegar dengan menambah baik tahap sara diri di samping meningkatkan keterjaminan makanan," katanya.

Dalam lawatan itu, Saraswathy turut meninjau operasi mesin juruwang automatik (ATM) Bank Rakyat yang ditempatkan di Stesen Minyak BH Petrol Air Kuning.

Saraswathy bersama Nor Haimee ketika meninjau operasi ATM Bank Rakyat di Stesen Minyak BH Petrol Air Kuning.
Saraswathy bersama Nor Haimee ketika meninjau operasi ATM Bank Rakyat di Stesen Minyak BH Petrol Air Kuning.

Menurut beliau, ATM yang mula beroperasi sejak Jun itu merupakan usaha memperluaskan akses dan perkhidmatan perbankan kepada masyarakat terutama luar bandar.

"Sebelum adanya ATM ini, penduduk terpaksa menempuh perjalanan lebih 20 kilometer untuk urusan pengeluaran wang hingga ada pernah berlaku kemalangan.

"Kita ambil maklum kesulitan dihadapi dan berusaha mencari tempat sesuai untuk menempatkan mesin ini agar penduduk dapat jalankan urusan mereka dengan mudah, pantas dan selamat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!