Operasi Hospital Bachok paling lewat Januari tahun depan

Dr Zaini (dua, kanan) pada melakukan kiraan pada pertandingan tarik tali sempena program ANMS.
Dr Zaini (dua, kanan) pada melakukan kiraan pada pertandingan tarik tali sempena program ANMS.
A
A
A

JELI - Hospital Bachok dijangka beroperasi sepenuhnya pada Disember ini atau selewat-lewatnya Januari tahun depan selepas hampir tiga tahun pembinaannya terbengkalai.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, operasi hospital pakar itu melibatkan aset permulaan bernilai RM15.3 juta dengan 500 kakitangan.

Menurut beliau, lawatan bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) ke projek itu minggu lepas mendapati pembinaannya sudah mencapai tahap 97 peratus.

"Laporan yang diterima bahawa kontraktor dijangka menyerahkan hospital itu pada 27 Oktober depan dan jika tiada masalah lain akan dapat beroperasi pada tarikh ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Jeli pada Sabtu.

Dr Zaini memberitahu, Hospital Bachok akan mendapat khidmat dan kepakaran daripada Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).

"Kepakaran itu dapat diakses untuk masyarakat setempat selain membantu mengurangkan kesesakan di hospital dalam bandar," katanya.

Jelas beliau, JKNK kini sudah bersedia dengan sumber manusia dan aset yang diperlukan di samping kemudahan lain untuk melengkapkan bangunan hospital itu.

Artikel Berkaitan:

Dr Zaini (duduk, dua tengah) bersama kakitangan JKNK dan komuniti ketika program ANMS pada Sabtu.
Dr Zaini (duduk, dua tengah) bersama kakitangan JKNK dan komuniti ketika program ANMS pada Sabtu.

"Kita dimaklumkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga sudah bersedia dalam konteks penjawatan dan sumber manusia. Saya jangka tidak ada banyak masalah jika kontraktor dapat menyerahkan projek itu pada tarikh yang dijangkakan," katanya.

Sementara itu, lebih 1,000 peserta terdiri daripada kakitangan JKNK dan komuniti setempat menghadiri ANMS melibatkan pelbagai acara untuk kesihatan.

Antara acara yang disediakan ialah menangkap itik, berjalan kaki dua kilometer, tarik tali dan cabutan bertuah.