Harimau Muda enggan dabik dada
PENGENDALI skuad bawah 23 tahun (B-23) negara, E Elavarasan tidak mahu mendabik dada selepas melakar permulaan sempurna menewaskan Indonesia 2-1 dalam aksi Kumpulan B Kejuaraan B-23 AFF 2023 di Stadium Rayong Provincial, Thailand pada Jumaat.
Sebaliknya, Elavarasan menyifatkan faktor tuah dan nasib menyebelahi pasukannya untuk menundukkan juara Sukan SEA itu.
"Sudah tentu kami menghormati Indonesia kerana mereka juara sukan SEA.
Kami tahu mereka juga mempunyai masalah sama seperti yang Harimau Muda hadapi iaitu tidak dapat membawa skuad terbaik.
"Indonesia mempunyai pengalaman, mereka mengawal perlawanan tetapi kami bernasib baik kerana pada separuh masa kedua kami dapat peluang yang baik untuk jaringkan gol.
"Usaha keras pemain juga menyumbang kepada kemenangan ini selepas ketinggalan mereka menunjukkan karakter untuk bangkit," katanya selepas perlawanan.
Dalam perlawanan itu, Indonesia terlebih dahulu menghukum barisan pertahanan negara menerusi jaringan Muhammad Ramadhan Sananta pada minit ke-29.
Tindakan Elavarasan yang memasukkan Fergus Tierney pada separuh masa kedua membuahkan hasil apabila pemain Johor Darul Ta'zim II (JDT II) itu meledak dua gol untuk membantu kemenangan Harimau Muda.
Dalam pada itu, Elavarasan memuji impak yang ditunjukkan Tierney dan percaya pemain itu akan memberikan lebih banyak sumbangan untuk pasukan sepanjang kejohanan tersebut.
Menurutnya, ia juga membuktikan JDT telah menghasilkan ramai pemain berkualiti dan amat berguna untuk membantu pasukan negara.
"Tierney bermain dengan pasukan hebat iaitu JDT, jadi dia didedahkan dengan banyak perkara di sana," katanya.
Setiap perlawanan kita mahu menang - Tierney
Dalam pada itu penyerang muda negara, Tierney berkata, Harimau Muda akan terus berjuang sedaya upaya untuk memenuhi sasaran mara ke final dan menjuarai kejohanan tersebut.
"Kita nak menang. Setiap perlawanan kita nak menang dan mahu jadi juara.
Kita mahu terus melangkah ke hadapan," katanya selepas perlawanan.
Tierney yang masuk sebagai pemain gantian pada separuh masa kedua muncul wira apabila meledak dua gol untuk memastikan langkah kanan Harimau Muda dalam kejohanan itu.
Dalam pada itu, pemain Johor Darul Ta'zim II (JDT II) itu juga mengakui taktikal yang direncana pengendali E Elavarasan untuk memasukannya pada babak kedua membuahkan hasil.
"Dari permulaan (apabila diundi dalam kumpulan) bersama Indonesia dan Timor Leste akan jadi kumpulan yang sukar.
Tetapi, saya dan pemain percaya dengan pasukan dan akhirnya kita berjaya meraih kemenangan ini.
"Sebelum perlawanan jurulatih beritahu saya bahawa saya perlu bersedia untuk masuk pada separuh masa kedua untuk berikan impak kepada bahagian serangan.
"Jurulatih mempunyai perancangan yang baik dan ternyata keputusan terbabit adalah idea yang bagus dan menjadi pada perlawanan ini," katanya.
Kemenangan ke atas Indonesia itu meletakkan Harimau Muda di kedudukan teratas Kumpulan B dan dijadualkan menentang Timor Leste pada aksi terakhir pada Selasa ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!