Tiada lagi kasino, mesin slot di Sabah
SANDAKAN - Tidak akan ada lagi kasino mini dan mesin slot di Sabah, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Shafie berkata, beliau telah memberi arahan jelas agar ditamatkan operasi kasino mini dan mesin slot di negeri ini.
“Apabila seseorang mempunyai tabiat berjudi, ia boleh membawa kepada kesan bahaya seperti pengabaian keluarga dan berakhir dengan pinjaman along untuk memudahkannya bermain lagi judi.
“Tetapi sekiranya anda mahu bermain mahjong, saya tidak kisah selagi ia tidak melibatkan wang,” katanya pada satu dialog dengan komuniti peniaga Cina Sandakan di sini, hari ini.
Mohd Shafie, yang juga Menteri Kewangan Negeri, berkata demikian ketika menjawab soalan daripada hadirin mengenai pendirian kerajaan terhadap sebuah gabungan kepercayaan di Sabah yang menggesa Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan untuk mengharamkan operasi kasino mini dan mesin slot di Sabah baru-baru ini.
Kerajaan Persekutuan masih mengeluarkan lesen untuk operasi yang seumpama tetapi juga melaksanakan kenaikan cukai bagi mesin slot dari RM10,000 ke RM50,000 setahun, manakala cukai untuk keuntungan daripada mesin slot dinaikkan ke 30 peratus daripada 20 peratus.
Bagaimanapun, pihak gabungan kepercayaan itu meragui dengan langkah kenaikan cukai berkenaan boleh menghapuskan perjudian.
“Saya akan berbincang dengan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng agar tidak menggalakkan perjudian di Sabah,” kata Mohd Shafie. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!