Abang tikam perut adik 9 tahun hingga mati
RANAU - Seorang lelaki yang dipercayai mengalami masalah mental menikam mati adiknya yang berusia sembilan tahun dalam kejadian di kediaman mereka di Kampung Kinapulidan di sini pada Khamis lalu.
Suspek berusia 19 tahun menikam adiknya menggunakan pisau pada jam 5.40 pagi dan mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira enam jam kemudian di Hospital Ranau.
Ketua Polis Daerah Ranau, Simiun Lomudin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.27 pagi hari yang sama.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa merupakan kanak-kanak lelaki yang telah ditikam oleh abangnya sendiri di bahagian perut semasa berada di ruang tamu rumah mereka.
"Suspek menikam dengan menggunakan sebilah pisau dan mangsa kemudiannya telah dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan oleh jirannya sejurus selepas kejadian.
"Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 11.10 pagi semasa mendapatkan rawatan di unit kecemasan Hospital Ranau," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Simiun berkata, suspek berjaya ditangkap pada hari yang sama di sekitar lokasi kejadian.
"Pihak polis masih menyiasat motif sebenar kejadian dan tidak menolak kemungkinan suspek mengalami masalah mental.
"Kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.
Ujarnya lagi, orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!