Perbezaan kerajaan Pusat, negeri tak jejas pelaburan
ISKANDAR PUTERI - Usaha menarik pelaburan sama ada dari dalam dan luar negara tidak terjejas biarpun wujud perbezaan di peringkat kerajaan Pusat dan kerajaan negeri ketika ini.
Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Liew Ching Tong, kedua-dua pihak (kerajaan pusat dan kerajaan negeri), masing-masing mempunyai tanggungjawab bagi meningkatkan lagi taraf ekonomi serta kehidupan rakyat di seluruh negara.
“Selepas PRN (Pilihan Raya Negeri), kita perlu kembali bekerjasama untuk menjana pelaburan bukan sahaja asing tetapi juga (pelaburan) tempatan.
“Bukan hanya untuk pelaburan, tetapi untuk menjana pekerjaan dan saya rasa itu adalah objektif kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri.
“Sebagai contoh di Kulim (Ulu Tiram, Johor); walaupun (di peringkat), kerajaan negeri, tetapi dapat juga pelaburan yang besar dan saya rasa ia (perbezaan pentadbiran) tidak harus menjadi penghalang kerana sekarang masa untuk bekerja dan yang penting untuk jana pekerjaan yang lebih baik dengan gaji yang lebih setimpal,” katanya kepada pemberita.
Chin Tong berkata demikian pada sidang media pada program Geran Komuniti Iskandar Puteri Rendah Karbon 3.0 di Horizon Hill, di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Datuk Bandar Iskandar Puteri, Datuk Mohd Hafiz Ahmad dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA), Datuk Dr. Badrulhisham Kassim.
Sementara itu, Chin Tong berkata, perbezaan pentadbiran di peringkat Kerajaan pusat dan Kerajaan Negeri ketika ini bukan penghalang bagi kedua-dua pihak melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
“Saya rasa ia tak harus jadi penghalang... sekarang masa untuk bekerja yang penting kita usaha untuk jana pekerjaan lebih baik dengan gaji lebih setimpal,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!