PRK: Gelombang hijau adalah gelombang rakyat
KULAI - 'Gelombang hijau' Perikatan Nasional (PN) yang diuar-uarkan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) merupakan 'gelombang rakyat' yang menolak pemimpin kleptokrasi.
Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, gelombang hijau tersebut digunakan untuk menakutkan golongan bukan Melayu khususnya pada pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri baru-baru ini.
Bagaimanapun tegasnya, gelombang berkenaan akan menjadi gelombang rakyat pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN Simpang Jeram.
"Gelombang itu diadakan untuk menakutkan golongan bukan Melayu tetapi saya berpandangan rakyat di Johor terutama di Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram akan menilai pada PRK, 9 September depan.
"Sebetulnya ia merupakan gelombang rakyat yang menolak pemimpin yang ada kleptokrasi dan yang cakap lain buat lain serta mereka sentiasa berpolitik sepanjang masa," katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor berkata demikian pada sidang akhbar di Pusat Gerakan PN negeri di Taman Scientex Utama Senai di sini pada Sabtu.
Dr Sahruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong berkata, kemenangan di DUN Simpang Jeram pada PRK cukup penting meskipun PN Johor kini hanya memiliki tiga kerusi di DUN Johor.
"Kita fokus menjadi pengimbang kerajaan negeri menjadi lebih kuat di DUN Johor dengan kemenangan di DUN Simpang Jeram pada PRK kelak.
"Bagi Parlimen Pulai pula, kita mahu menjadi pembangkang menjadi lebih kukuh supaya kita dapat mengimbangkan sebarang keputusan yang dibuat Kerajaan Perpaduan di Parlimen," katanya.
PN mempunyai tiga kerusi di DUN Johor iaitu DUN Bukit Kepong diwakili Datuk Dr Sahruddin Jamal (Bersatu); DUN Endau (Alawiyah Talib- Bersatu) dan DUN Maharani (Abdul Aziz Talib- Pas).
ARTIKEL BERKAITAN:
Gelombang hijau sukar diterima di Johor - Aminolhuda
BN, PH perlu kerja keras sekat gelombang hijau di Johor - Ahmad Maslan
PRK: Suhaizan, Nazri calon PH Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!