Sabar, istiqamah buat kerja sementara tunggu 'post mortem' PRN selesai - Fahmi

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berucap melancarkan program ‘Wangsa Maju Kita Punya’ sempena sambutan Hari Kebangsaan di Taman Tasik Danau Kota pada Sabtu. - Foto Bernama
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berucap melancarkan program ‘Wangsa Maju Kita Punya’ sempena sambutan Hari Kebangsaan di Taman Tasik Danau Kota pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH) Fahmi Fadzil meminta semua pihak dalam Kerajaan Perpaduan untuk bersabar dan beristiqamah melakukan gerak kerja, sementara proses post mortem keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri yang diadakan baru-baru ini selesai.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi dan Digital berkata, semua parti dalam gabungan PH-BN (Barisan Nasional) sedang melakukan post mortem untuk mendapatkan data bagaimana mereka boleh bergerak ke hadapan dengan lebih baik pada masa akan datang.

"Saya lihat sekarang ini semua parti dalam proses melakukan post mortem untuk dapatkan data, untuk dapatkan maklumat, maklum balas sama ada di peringkat tertinggi sampai ke peringkat akar umbi. Sudah pasti semua parti akan melakukan muhasabah mengambil ibrah (pengajaran) dan juga merangka jalan ke depan.

"Insya-ALLAH bila tiba masanya kita akan lakukan penambahbaikan seperti yang akan kita kenal pasti melalui post mortem. Saya serah kepada pimpinan nanti untuk tentukan," katanya kepada pemberita pada program Wangsa Maju Kita Punya di Taman Tasik Danau Kota di sini pada Sabtu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai prestasi kurang baik yang ditunjukkan parti-parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan terutamanya UMNO yang mewakili Barisan Nasional pada PRN di Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Terengganu pada 12 Ogos lepas. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!