PRK: Muhyiddin akan umum calon minggu depan
KULAI - Perikatan Nasional (PN) akan mengumumkan calon yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, minggu depan.
Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, pengumuman nama calon akan dibuat Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Setakat ini memang nama calon itu sudah ada, PN Pusat sudah bermesyuarat bagi memuktamadkan calon di dua kerusi berkenaan dan majlis pengumuman calon akan dibuat minggu depan.
"Lokasi dan tarikh akan kita umumkan dalam masa terdekat. Kita jangkakan pengumuman akan diadakan di kawasan Parlimen Pulai dalam masa terdekat," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor di Pusat Gerakan PN Johor di Taman Scientex Utama, Senai di sini pada Sabtu.
Berhubung calon, Dr Sahruddin yang juga Pengerusi Bersatu Johor, memberitahu kedua-dua calon tersebut merupakan anak tempatan.
"Kedua-dua calon berkenaan juga adalah golongan profesional dan dikenali di kawasan Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram.
"Namun kami masih menunggu isyarat lanjut daripada PN Pusat dan tidak boleh mendahului kepimpinan parti untuk mengulas mengenai calon," katanya.
Sementara itu, Dr Sahruddin memberitahu beliau dilantik menjadi Pengarah PRK Johor bagi PN.
"Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Husin dan Pengerusi Gerakan Johor, Teo Kok Chee, pula masing-masing dilantik sebagai Timbalan Pengarah PRK Johor," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!