Petisyen PRN: Eddin Syazlee serah kepada kepimpinan pusat

Eddin Syazlee
Eddin Syazlee
A
A
A

KUALA PILAH - Bekas calon Perikatan Nasional (PN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Juasseh, Datuk Eddin Syazlee Shith menyerahkan kepada kepimpinan pusat untuk meneliti keputusan dan laporan pilihan raya negeri (PRN) lalu bagi menentukan kewajaran memfailkan petisyen pilihan raya atau sebaliknya.

Menurutnya, setakat ini belum ada sebarang keputusan mengenainya membabitkan DUN yang ditandinginya itu.

"Kita tengok macam mana, kita sudah rujuk kepada Pusat untuk bincang. Belum ada keputusan lagi, kita sedang menyiapkan apa yang perlu.

"Kita masih meneliti dan nak tengok keterangan-keterangan yang ada sebab ada beberapa isu yang tidak boleh saya kongsikan setakat ini," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Pada PRN lalu, PN melalui Eddin Syazlee bertanding satu lawan satu dengan Barisan Nasional (BN) diwakili oleh Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid.

Eddin Syazlee memperoleh 4,471 undi berbanding Bibi Sharliza yang mendapat 4,549 undi dengan 78 majoriti.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, mengulas mengenai kejadian kepala babi yang diletakkan di atas bendera parti gabungan berkenaan di hadapan bilik gerakannya di Juasseh, Eddin Syazlee berkata, siasatan masih diteruskan oleh pihak polis.

"Kita sudah serahkan kepada pihak polis dan saya juga telah berikan kerjasama sepenuhnya," katanya ringkas.

Artikel Berkaitan:

Media sebelum ini melaporkan polis menerima dua laporan berkaitan kejadian khianat kepala babi iaitu meletakkan dan melemparkan kepala babi di dua lokasi yang berbeza di daerah ini pada 9 Ogos lepas.

Menurut Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd Ghani, lokasi pertama membabitkan Bilik Gerakan Utama Perikatan Nasional di DUN Juasseh dan kedua di sebuah rumah di Kampung Sawah Lebar Seberang.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan / 4A (1) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 yang mana jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh dua tahun, atau dikenakan denda, atau kedua-duanya sekali dan penjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan dan didenda kedua-duanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!