Perintah darurat di British Columbia akibat kebakaran hutan
BERLIN - Darurat telah diisytiharkan di wilayah British Columbia Kanada ketika kebakaran hutan yang dahsyat terus melanda wilayah itu pada Jumaat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Ketua Menteri British Columbia, David Eby membuat pengumuman untuk seluruh wilayah di pantai Pasifik itu pada petang Jumaat di platform X, yang dahulunya dikenali sebagai Twitter.
Terdahulu, beberapa rumah dan pangsapuri di sekitar bandar pelancongan terkenal West Kelowna di Tasik Okanagan, musnah dijilat api.
Perintah darurat telah diisytiharkan untuk bandar itu, yang dihuni 36,000 penduduk.
Bandar Kelowna, dengan populasi hampir 150,000 di seberang tasik itu turut terjejas akibat kebakaran yang menurut pihak berkuasa dijangka semakin merebak.
Di seluruh wilayah itu, 15,000 orang telah diminta meninggalkan rumah mereka. Amaran perpindahan juga ditetapkan untuk lebih 20,000 penduduk lain.
Selain itu, kebakaran hutan yang marak turut berlaku wilayah berhampiran di Northwest Territories. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!