PRK: Calon 'heavyweight' atau baharu progresif pilihan pengundi
JOHOR BAHRU - Berbaki kurang seminggu bagi parti-parti yang memasang niat bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, bakal memilih calon yang akan mewakili mereka.
Banyak nama telah 'disebut-disebut', namun kriteria apa yang disandarkan parti-parti bertanding dalam memilih calon masing-masing, meskipun kedua-dua kerusi ini kini dilihat sebagai kubu kuat Pakatan Harapan (PH) yang diwakili Amanah?.
Mengulas mengenai calon, Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak Universiti Teknologi Malaysia, Prof Madya Dr Mazlan Ali menjangkakan persaingan sengit akan berlaku antara PH dan Perikatan Nasional (PN).
Namun, beliau berkata, satu daripada faktor penentu kemenangan adalah pemilihan calon itu sendiri, sama ada kedua-dua pihak memutuskan untuk memilih calon 'heavyweight' atau calon baharu yang progresif dan boleh melaksanakan tanggungjawab di kawasan itu.
"(Penyandang) Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub mempunyai reputasi yang begitu tinggi di situ, maka calon yang diletak oleh Pakatan Harapan di sini mestilah setara atau sepadan atau sekurang-kurangnya calon baharu yang progresif dan dapat memberi perkhidmatan yang baik.
"PN juga perlu bekerja keras dan pilih calon heavyweight bukan sahaja dikenali ramai malah mempunyai track record baik di kawasan ini, khususnya di Pulai kerana bukan mudah mengatasi legasi peninggalan arwah Datuk Seri Salahuddin Ayub yang memang disayangi oleh pengundi-pengundi dan penduduk Pulai,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual eksklusif, baru-baru ini.
Mazlan berkata, ini juga kerana reputasi Allahyarham yang mempertahankan kerusi tersebut dengan mengalahkan bekas Ahli Parlimen Pulai, seorang tokoh popular UMNO Datuk Nur Jazlan Mohamed yang juga penyandang kerusi berkenaan selama tiga penggal.
"Kerusi Parlimen Pulai saya lihat penting dan saya yakin, PH sendiri mempunyai ramai pemimpin berkebolehan. Sudah pasti, penekanan akan diberi kepada calon yang berasal dari Johor, ini kerana faktor Pulai sebelum ini diwakili pemimpin yang memang berasal dari Johor.
"Bagi PH, mereka mesti meletakkan calon yang sekurang-kurangnyanya memaparkan kebolehan dan keupayaan yang sama seperti calon terdahulu,” katanya.
Mengulas lanjut, Mazlan berkata, PH juga perlu mengambil kira kedudukan demografi kerusi Parlimen Pulai yang terdiri daripada pengundi berbilang kaum dengan Melayu merupakan majoriti namun bilangan pengundi Cina dan India juga sangat signifikan.
Penganalisis politik, Mujibu Abd Muis yang sependapat dengan Mazlan berkata, pemilihan calon yang sesuai juga, menjadi faktor penting bagi mana-mana parti bertanding.
Beliau yang juga Felo Penyelidik ILHAM Centre dan Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara berkata, pelbagai aspek diambil kira dalam memilih calon termasuk kedudukan seseorang calon dalam hirarki kepimpinan parti di peringkat nasional dan negeri.
Bagaimanapun, Mujibu berkata, keupayaan PH untuk mempertahan semula kerusi Parlimen itu boleh disifatkan sebagai "tonik” yang boleh memberi kelegaan kepada PH atau Kerajaan Perpaduan sendiri, selepas keputusan Pilihan Raya Negeri baru-baru ini.
Hari ini, Presiden parti Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu mengumumkan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Johor Suhaizan Kaiat sebagai calon bagi kerusi Parlimen Pulai manakala Nazri Abdul Rahman calon di DUN Simpang Jeram mewakili PH dalam dua PRK bulan depan.
Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dilaporkan berkata, calon PN bagi kedua-dua PRK berkenaan akan diumumkan, minggu hadapan.
Salahuddin, Timbalan Presiden Amanah yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, meninggal dunia pada 23 Julai lepas pada usia 61 tahun.
Salahuddin, yang bertanding buat kali ketiga di kerusi Parlimen berkenaan, menang buat kali kedua pada PRU lepas dengan 33,174 undi mengalahkan calon Barisan Nasional Nur Jazlan.
PRK Parlimen Pulai dan Simpang Jeram ditetapkan pada 9 September ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!