Penganalisis unjur KDNK 2023 tumbuh pada 4.0-4.3 peratus

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kalangan penganalisis mengunjurkan ekonomi Malaysia berkembang antara 4.0 peratus hingga 4.3 peratus bagi 2023 serta memberi pandangan berbeza mengenai prospek kadar dasar semalaman (OPR) susulan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) suku kedua 2023 yang lebih perlahan daripada dijangkakan.

Semalam, Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan bahawa ekonomi Malaysia berkembang secara sederhana pada 2.9 peratus tahun ke tahun dalam suku kedua berbanding 5.5 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2023, didorong terutamanya oleh permintaan luaran yang lebih perlahan.

Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour optimis bahawa ekonomi negara kekal di landasan tepat bagi mencapai sasaran pertumbuhan 4.0-5.0 peratus tahun ini, disokong oleh pemulihan berterusan pasaran tenaga kerja, pelaksanaan projek dan peningkatan aktiviti pelancongan.

Ahli Ekonomi RHB Bank Bhd, Chin Yee Sian dan Penganalisis Penyelidikan Bersekutu, Wong Xian Yong dalam nota penyelidikan masing-masing berkata, angka KDNK suku kedua yang lebih rendah daripada unjuran konsensus Bloomberg sebanyak 3.3 peratus tahun ke tahun serta unjuran dalaman mereka sebanyak 3.5 peratus tahun ke tahun, adalah seiring dengan pertumbuhan suku berkenaan yang sederhana.

Mereka berpendapat, ini berikutan kelemahan dalam permintaan luaran selain normalisasi perbelanjaan pengguna di peringkat domestik.

Berikutan perkembangan itu, mereka menyemak turun unjuran pertumbuhan KDNK 2023 kepada 4.3 peratus daripada 5.0 peratus tahun ke tahun sebelum ini kerana menjangkakan perbelanjaan pengguna yang terus menyederhana dalam suku ketiga 2023.

"Penguncupan data eskport bagi asas tahun ke tahun berkemungkinan besar akan turut berlanjutan ke dalam suku ketiga 2023,” kata mereka.

Mengulas prospek OPR, Yee Sian dan Xian Yong mengunjurkan bahawa BNM akan mengekalkan kadar tersebut pada 3.00 peratus dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) September ini berikutan momentum ekonomi yang menyederhana.

Artikel Berkaitan:

"Kami mengunjurkan kemuncak OPR pada 3.25 peratus dengan imbangan risiko lebih menjuruskan kepada tiga peratus," kata mereka.

Sementara itu, MIDF Research pula mengekalkan unjuran KDNK 2023 pada 4.2 peratus tahun ke tahun dan menjangkakan permintaan domestik yang kukuh menjadi pemacu utama pertumbuhan tersebut.

"Berdasarkan peningkatan perbelanjaan domestik yang berterusan, kami berpendapat bahawa pertumbuhan tersebut dapat dikekalkan pada separuh kedua 2023 susulan keadaan pasaran tenaga kerja yang positif, peningkatan pertumbuhan pendapatan serta dasar-dasar ekonomi yang akomodatif,” katanya.

Selain itu, katanya, pemulihan sektor pelancongan dan perbelanjaan pelancong akan turut menyokong pertumbuhan dalam dagangan runcit dan sektor berkaitan pengguna seperti makanan dan minuman, hotel serta penginapan.

Dalam pada itu, AmBank Group dalam unjurannya, menyemak KDNK 2023 kepada 4.0 peratus daripada 4.5 peratus sebelum ini susulan jangkaan aktiviti dagangan lebih perlahan bagi tempoh berbaki tahun ini serta mengambil kira sentimen pesimis terhadap prospek ekonomi global akibat kenaikan kadar faedah.

Menyentuh OPR, ia percaya bahawa kadar itu akan kekal pada 3.00 peratus tahun ini berikutan penurunan inflasi yang ketara serta keperluan bagi menyokong permintaan domestik susulan ketidaktentuan luaran.

Bagi prestasi ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), kumpulan berkenaan menyemak semula unjuran akhir tahun kepada 4.50 berbanding 4.40 sebelum ini, didorong oleh perubahan dalam unjuran pertumbuhan KDNK 2023 serta naratif "meningkat bagi tempoh lebih lama” berikutan aliran kenaikan dolar AS yang mendadak, baru-baru ini.

Unjuran terhadap perbandingan ringgit-dolar AS itu juga sebagai reaksi terhadap perkembangan makro di China yang berkemungkinan besar memberi kesan terhadap sentimen ke atas mata wang pasaran sedang pesat membangun.

Pada Jumaat, ringgit mengakhiri urus niaga pada paras 4.6465/6510 daripada dolar AS. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!