Selangor, Terengganu berentap suku akhir Piala Malaysia
JUARA 33 kali Piala Malaysia, Selangor FC meneruskan kemaraan ke pentas suku akhir kejuaraan berprestij bola sepak negara selepas menewaskan PDRM FC dengan agregat 5-3 dalam perlawanan kedua Pusingan 16, di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, pada Sabtu.
Kemenangan bergaya 4-1 The Red Giants ke atas The Cops pimpinan Eddy Gapil di venue sama pada 3 Ogos lalu ternyata merupakan bekalan penting skuad kendalian Tan Cheng Hoe berdepan yang angkatan pimpinan pengendali baharu Datuk Yunus Alif.
Selangor FC yang tampil sebagai tuan rumah bermula garang apabila terlebih dulu memimpin perlawanan hasil jaringan pemain tengah kelahiran Venezuela berusia 32 tahun Yohandry Orozco yang menyudahkan sentuhan Noor Al Rawabdeh pada minit ke-25.
Jaringan itu ternyata menyentak semangat para pemain pasukan pelawat yang memperkemaskan permainan sebelum menggandakan asakan pemburuan gol penyamaan.
Gol dicari The Cops akhirnya dijelmakan Mohamad Nabil Ahmad Latpi hasil sentuhan Uche Agba pada minit ke-32, berikutan kelekaan bahagian pertahanan Red Giants untuk kedua-dua menuju ke bilik persalinan dengan kedudukan 1-1.
Separuh masa kedua, Cheng Hoe mula memperkemaskan bahagian benteng bagi mengekang kemaraan rangkaian serangan skuad kendalian bekas pemain kebangsaan pada era 70-an hingga 90-an itu.
Asakan berintensiti tinggi PDRM akhirnya menyaksikan gol kemenangan pasukan pelawat dihasilkan jaringan sendiri pemain Selangor, Harith Haiqal Adam Afkar yang tertampan bola hantaran Bruno Suzuki pada minit ke-93.
Keputusan itu menyaksikan Selangor akan menentang kuasa bola sepak pantai timur Terengganu FC pada peringkat suku akhir manakala PDRM akan bertemu Kuala Lumpur Rovers dalam saingan Challenge Cup.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!