Semua pihak bertanggungjawab atas keputusan PRN - Majlis Ulama UMNO
SHAH ALAM – Keputusan enam pilihan raya negeri (PRN) baru-baru ini menjadi tanggungjawab bersama yang mesti digalas dan dimuhasabah oleh semua pihak dalam UMNO.
Majlis Ulama UMNO berkata, tanggungjawab itu tidak hanya diletakkan ke atas individu tertentu sahaja.
Justeru tegasnya, setiap ahli dan pemimpin perlu terus bangkit memimpin kekalahan agar bertukar menjadi kemenangan pada masa hadapan.
“Rasulullah SAW dan sahabat terus bangkit pasca kekalahan umat Islam dalam perang Uhud menentang Musyrikin akibat kegagalan patuh kepada arahan baginda sebagai pemimpin, akhirnya diganti dengan kemenangan besar dalam perang Ahzab.
"Kebersamaan seluruh peringkat ahli dan kepimpinan adalah rahsia kemenangan organisasi sebagaimana diperingatkan oleh ALLAH dalam Surah al-Anfal ayat 46,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Sebelum ini media melaporkan, timbul desakan daripada akar umbi UMNO agar pucuk pimpinan memikul tanggungjawab atas prestasi buruk parti itu pada PRN di Kelantan, Terengganu, Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Negeri Sembilan.
UMNO selaku satu-satunya parti yang mewakili BN ketika pilihan raya itu hanya berjaya meraih 19 daripada 108 kerusi yang ditandingi.
Dalam pada itu, Majlis Ulama UMNO menegaskan, pilihan raya merupakan medan mengukur kekuatan parti dari semasa ke semasa dan apabila berakhir, ahli parti perlu segera bangkit menyusun gerak kerja serta strategi baharu dengan lebih baik.
Menurutnya, ahli UMNO mesti bersatu meneruskan perjuangan tanpa kenal penat serta lelah demi agama, bangsa dan negara.
“Proses pentarbiahan ahli di akar umbi mesti digerakkan dengan lebih lancar untuk terus membina kesetiaan kepada perjuangan parti sebagaimana digariskan oleh Perlembagaan UMNO iaitu berjuang mendukung cita-cita agama Islam, kebangsaan Melayu, bumiputera, anak negeri Sabah dan Orang Asli serta perpaduan Malaysia demi kemakmuran dan kestabilan negara.
"Sabar ketika kekalahan dan bersyukur ketika kemenangan adalah kunci kemenangan mana-mana perjuangan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!