50,000 sudah terima manfaat

A
A
A

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa (tengah) menunjukkan poster maklumat Skim Perubatan MADANI kepada penduduk semasa hadir di majlis pelancaran program MADANI Afiat di Kedah.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa (tengah) menunjukkan poster maklumat Skim Perubatan MADANI kepada penduduk semasa hadir di majlis pelancaran program MADANI Afiat di Kedah.

SKIM Perubatan MADANI yang diperkenalkan kerajaan dalam Belanjawan 2023 memberi manfaat besar kepada rakyat daripada kumpulan B40 dalam meningkatkan taraf kesihatan rakyat.

Sejak dimulakan pada 15 Jun lalu, skim rintis ini telah berjaya memberikan kemudahan perkhidmatan kesihatan kepada lebih 50,000 isi rumah menerusi fasa pertama pelaksanaan melibatkan 10 daerah terpilih di beberapa negeri meliputi Johor Bahru, Johor; Kuala Lumpur; Klang, Petaling, Hulu Langat dan Gombak masing-masing di Selangor; Kinta, Perak; Timur Laut, Pulau Pinang; Kuching, Sarawak serta Kota Kinabalu, Sabah.

ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa syarikat tersebut telah diberikan mandat oleh kerajaan untuk mengurus serta melaksanakan skim tersebut yang akan diperluaskan ke beberapa negeri.

Menurut syarikat itu, fasa kedua diteruskan di daerah Kuala Nerus dan Kuala Terengganu di Terengganu. Manakala di Kedah, ia melibatkan daerah Kota Setar serta Kuala Muda.

Malah, ProtectHealth turut meneruskan pelaksanaan skim itu bermula pada minggu kedua bulan ini (Ogos) di empat daerah iaitu Kota Setar dan Kuala Muda di Kedah) serta Kuala Terengganu dan Kuala Nerus di Terengganu,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Skim Perubatan MADANI juga akan diperluaskan ke Kota Bharu, Pasir Mas di Kelantan; Kuantan (Pahang); Melaka Tengah (Melaka); Seremban (Negeri Sembilan); Seberang Perai Tengah (Pulau Pinang) dan Perlis pada minggu keempat bulan ini sekali gus menjadikan keseluruhan kawasan yang menerima manfaat skim ini adalah sebanyak 21 daerah sebelum diperluaskan ke seluruh negara pada bulan September 2023.

Petugas memberi taklimat kepada para penduduk dalam Sesi Taklimat Skim Perubatan MADANI di Dewan Kompleks Penghulu Mukim Hulu Kinta, Perak.
Petugas memberi taklimat kepada para penduduk dalam Sesi Taklimat Skim Perubatan MADANI di Dewan Kompleks Penghulu Mukim Hulu Kinta, Perak.

Artikel Berkaitan:

Berkenaan maklumat lanjut Skim Perubatan MADANI, ProtectHealth turut memaklumkan bahawa kelayakan skim itu diberikan secara automatik kepada kumpulan B40 yang menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1 2023.

“Ia terbahagi kepada tiga kategori iaitu berkeluarga (yang berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri), warga emas (tanpa pasangan) dan bujang. Mereka hanya perlu menggunakan MyKad untuk pengesahan di klinik terpilih.

“Peruntukan manfaat rawatan adalah berbeza mengikut kategori iaitu isi rumah berkeluarga hingga RM250 manakala warga emas tanpa pasangan (RM125) dan bujang sebanyak RM75,” jelas ProtectHealth yang turut memaklumkan manfaat skim berkenaan adalah sekali sahaja sepanjang tempoh rintis atau ‘one-off’.

Dalam pada itu, ProtectHealth turut memberitahu bahawa Skim Perubatan MADANI membantu memberikan penjagaan primer akut dengan perkhidmatan percuma yang ditawarkan seperti konsultasi, pemeriksaan, ubat-ubatan, prosedur serta khidmat nasihat oleh klinik perubatan swasta (GP).

Antara rawatan pesakit luar untuk kes akut yang dilindungi di bawah skim ini merangkumi demam, selesema, cirit-birit, muntah, terseliuh, sakit kepala dan trauma ringan seperti luka ringan.

Selain itu, kes kesakitan akut seperti luka melecur, lebam, tulang patah, komplikasi kencing manis, ‘gouty arthritis’ dan lain-lain juga boleh dirawat di klinik perubatan swasta (GP).

Menurut ProtectHealth, setakat ini kira-kira 700 GP telah didaftarkan dan aktif sebagai klinik panel di bawah Skim Perubatan MADANI manakala Kumpulan B40 yang layak digalakkan untuk mendapatkan rawatan di klinik-klinik panel yang berdaftar.

Malah, syarikat itu turut menggalakkan lebih banyak GP yang berdaftar di bawah CKAP (Cawangan Kawalan Amalan Perubatan) di daerah-daerah yang terlibat supaya mendaftarkan diri sebagai klinik panel di bawah Skim Perubatan MADANI.

Penglibatan lebih banyak GP yang mendaftar sebagai klinik panel diharap dapat memastikan Skim Perubatan MADANI mencapai sasaran kerajaan dalam memberikan kemudahan rawatan kesihatan yang terbaik kepada rakyat.