Kilang sawit diberi notis gagal wujud prosedur kerja selamat

Pegawai JKKP Perak ketika melakukan siasatan ke lokasi mangsa dipercayai tergelincir sebelum disahkan meninggal dunia.
Pegawai JKKP Perak ketika melakukan siasatan ke lokasi mangsa dipercayai tergelincir sebelum disahkan meninggal dunia.
A
A
A

SERI MANJUNG - Sebuah kilang kelapa sawit di Pantai Remis di sini diberikan satu notis larangan dan lima notis perbaikan selepas didapati gagal mewujudkan prosedur kerja selamat dan sistem permit bekerja untuk kerja tempat tinggi hingga mengakibatkan kematian seorang pekerjanya, semalam.

Dalam kejadian sekitar jam 10.30 pagi itu, V Ravindran, 28, meninggal dunia aibat kecederaan parah di kepala selepas terjatuh dari ketinggian enam meter ketika menjalankan kerja penyelenggaraan pada bahagian luar dinding dandang stim.

Mangsa yang merupakan warga tempatan ketika itu berdiri di atas paip stim untuk menjalankan kerja pengukuran pada bahagian luar dinding sebelum tergelincir dan jatuh ke aras lantai.

Pengarah JKKP negeri, Ir Zamzurin Maarof berkata, siasatan dijalankan mendapati, majikan turut gagal mengemaskini penaksiran risiko dan menyediakan latihan untuk kerja di tempat tinggi.

“Tindakan perundangan akan diambil ke atas pihak bertanggungjawab sekiranya didapati terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kejadian itu menjadikan enam kes maut melibatkan pekerja jatuh daripada tempat tinggi direkodkan berlaku di Perak.

Menurutnya, kejadian seumpama itu boleh dielakkan sekiranya majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif termasuk mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).

“JKKP memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam, kita minta majikan memastikan semua aktiviti kerja di tempat tinggi mengikut Garis Panduan Pencegahan Jatuh di Tempat Kerja yang telah dikeluarkan oleh JKKP pada 2007,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!