KPDN rampas 47,540 liter diesel bersubsidi diseleweng
JOHOR BAHRU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya membongkar aktiviti penyelewengan diesel bersubsidi dengan rampasan 47,540 liter minyak itu dan barang rampasan dianggarkan bernilai RM267,457 di Taman Perindustrian Plentong, Masai di sini pada Sabtu.
Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, serbuan menerusi Op Tiris dijalankan sepasukan anggota penguat kuasa KPDN pada jam 8.10 malam itu merupakan hasil risikan sejak enam bulan.
"Sindiket ini menggunakan beberapa buah lori, kemudiannya mengisi minyak diesel di beberapa stesen minyak di sepanjang laluan Lebuhraya Pasir Gudang, Masai dan Kempas.
"Diesel itu kemudiannya dihantar ke stor haram berkenaan dan dijual di pasaran. Cara ini digunakan sebagai modus operandi sindiket menyeleweng diesel bersubsidi," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurut Armizan, seorang lelaki tempatan berumur 37 tahun yang mengaku sebagai pemandu treler juga telah ditahan bagi membantu siasatan.
"Sebuah lori tanker, dua buah lori 'bonded', sebuah kenderaan pikap dan minyak diesel telah disita dengan keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM267,457.
"Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini akan dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 bagi mengenal pasti individu atau syarikat yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!