Azeem belum cukup laju di Budapest

Azeem (tengah) terlepas peluang beraksi di pentas separuh akhir Kejohanan Olahraga Dunia di Budapest awal pagi Ahad. - Foto AFP
Azeem (tengah) terlepas peluang beraksi di pentas separuh akhir Kejohanan Olahraga Dunia di Budapest awal pagi Ahad. - Foto AFP
A
A
A

IMPIAN jaguh pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Olahraga Dunia 2023 di Budapest, Hungary tidak kesampaian.

Pelari berusia 19 tahun itu dilihat tidak berada pada prestasi terbaiknya setelah menamatkan saringan 4 di kedudukan ketujuh daripada lapan peserta pada pusingan pertama.

Bersaing di Stadium Olahraga Nasional awal pagi Ahad, pemegang rekod 100 meter (m) kebangsaan dengan catatan 10.09 saat (s) itu sekadar mencetak masa 10.26s.

Rekod masa itu lebih perlahan berbanding catatan dilakukannya ketika mengungguli peringkat kelayakan sebelum ini.

Tiga tiket automatik ke separuh akhir daripada saringan itu menjadi milik juara remaja dunia, Letsile Tebogo dari Botswana (10.11s), Rohan Browning (Australia, 10.11s) dan Reece Prescod (Great Britain, 10.14s).

Rakan sepasukan Azeem di Universiti Auburn di Alabama, Amerika Syarikat iaitu Favour Ashe dari Nigeria turut ditimpa malang apabila penyertaannya dalam saringan lima dibatalkan kerana false start.

Apa pun ia merupakan pengalaman berharga buat Azeem dalam misi untuk menjadi pelari Malaysia dan Asia Tenggara pertama melakukan catatan masa bawah 10s.

Azeem berpeluang menebus kekecewaan itu pada Sukan Asia di Hangzhou, China dari 23 September hingga 8 Oktober depan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!