Kes rasuah: Pegawai, anggota polis Labuan direman lima hari
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Kasyfurrahman Abang Ahmad di Mahkamah Majistret di sini.
Kedua-dua suspek berumur 42 tahun yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Labuan pada 3 petang Sabtu.
Pegawai berpangkat Asisten Superintenden dan anggota berpangkat koperal itu disyaki meminta dan menerima suapan berjumlah RM3,950 melalui beberapa transaksi secara dalam talian dan mesin deposit tunai (CDM) sebagai galakan untuk tidak mengambil tindakan terhadap seorang individu berhubung kesalahan berkaitan dadah pada September 2022 dan Mac 2023.
Kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda daripada nilai suapan (mana-mana yang lebih tinggi) atau penjara hingga 20 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!