Lebih 100kg tali pukat hanyut dikutip di Pantai Cermin

Sebahagian daripada 400 peserta yang terlibat dalam CSR aktiviti pembersihan di Pantai Cermin, Port Dickson pada Ahad.
Sebahagian daripada 400 peserta yang terlibat dalam CSR aktiviti pembersihan di Pantai Cermin, Port Dickson pada Ahad.
A
A
A

PORT DICKSON - Tali pukat hanyut antara yang banyak ditemui selain botol, kain dan bahan berasaskan getah dengan jumlah kutipan sampah sebanyak 455 kilogram di persisiran Pantai Cermin di sini ketika kerja pembersihan dilakukan pada Ahad.

Ketua Pengarah Jabatan Laut, Kapten Mohamad Halim Ahmed berkata, daripada jumlah berkenaan, lebih 100 kilogram tali pukat berjaya dikutip berbanding sampah lain.

Menurutnya, kerja pembersihan itu merupakan tindakan susulan selepas insiden tumpahan minyak yang pernah berlaku di pantai itu kira-kira tiga tahun lepas.

"Saya difahamkan semasa mereka buat pembersihan pantai di kawasan ini sahaja berjaya mengeluarkan lebih dua tan sampah termasuk di kawasan paya bakau yang ketika itu hendak membuat pembersihan minyak bercampur sampah.

"Hari ini pula, kita buat pembersihan susulan, kita jumpa banyak tali-tali yang digunakan oleh nelayan telah hanyut berada di pantai.

"Tali ini menjadi kawan, apabila tidak lagi gunakan ia menjadi lawan terutamanya kepada spesies di dalam air akan terancam dengan sisa tali (pukat atau tali kapal besar) termasuklah plastik," katanya pada Ahad.

Mohamad Halim (dua dari kiri) menunjukkan longgokan sampah yang dikumpul sempena aktiviti pembersihan di Pantai Cermin, Port Dickson pada Ahad.
Mohamad Halim (dua dari kiri) menunjukkan longgokan sampah yang dikumpul sempena aktiviti pembersihan di Pantai Cermin, Port Dickson pada Ahad.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui aktiviti pembersihan pantai sempena sambutan World Of Marine Aids To Navigation (Waton) Day 2023.

Artikel Berkaitan:

Tahun ini merupakan kali ketiga Jabatan Laut Malaysia menganjurkan program tersebut bersempena dengan International Coastal Cleanup Day yang disambut pada bulan September setiap tahun, namun kali ini ia dilaksanakan sedikit awal bagi memeriahkan acara sambutan Waton.

Beliau berkata, walaupun secara fizikalnya pantai berkenaan telah dibersihkan sebelum ini, namun kawasan bakau turut menerima kesan akibat insiden tumpahan minyak apabila banyak pokok yang mati disebabkan kesan minyak.

"Dalam hal ini, keadaan Pantai Cermin dilihat agak signifikan oleh Jabatan Laut Malaysia dan kita berharap agar usaha kecil ini dapat membantu memulihara kawasan ini.

"Bagaimanapun, usaha ini hanyalah penyelesaian sementara kepada permasalahan kebersihan pantai. Saya menyeru semua pihak agar kita mengubah sikap dan memberi komitmen yang serius kepada penjagaan alam sekitar khususnya kepada sungai dan pantai.

"Jika kita tidak mengubah cara hidup kita dalam usaha untuk memulihkan alam sekitar, ia bukan sahaja memusnahkan alam semula jadi malah akan merosakkan asas kesejahteraan kita sendiri dan mewariskan bumi yang tenat kepada generasi akan datang," katanya.