India kenakan 40 peratus duti eksport ke atas bawang
NEW DELHI - Pengeksport bawang terbesar dunia, India mengenakan 40 peratus duti eksport ke atas bawang berkuat kuasa serta-merta.
Cukai tambahan itu akan berkuat kuasa sehingga 31 Disember.
UAE adalah antara pasaran terbesar untuk bawang India selain Bangladesh, Nepal, Malaysia dan Sri Lanka, lapor Agensi Berita Emirates.
Sekatan terhadap eksport bawang adalah disebabkan oleh kurangnya hujan, terburuk dalam abad ini pada bulan ini di negeri-negeri pengeluaran bawang di India, yang menyebabkan kekurangan bawang di pasaran domestik.
Ogos adalah musim kemuncak di India untuk menuai bawang. Pakistan, China dan Mesir adalah antara pengeksport bawang global yang lain.
Kementerian Kewangan India yang memperkenalkan duti ekspot baharu itu, ingin mengawal inflasi runcit yang disebabkan oleh kenaikan harga sayur-sayuran dan barangan makanan lain.
Ini adalah usaha kedua diambil oleh India baru-baru ini untuk mengawal inflasi runcit yang disebabkan oleh harga makanan. Bulan lalu, India mengenakan larangan beras putih bukan basmati. India menyumbang kira-kira 40 peratus daripada sumber beras yang dieksport dunia. - Bernama-WAM
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!