Keluarga rayu orang ramai kesan Mohd Adhaar

Mohd Adhaar yang dilaporkan hilang sejak Khamis lalu.
Mohd Adhaar yang dilaporkan hilang sejak Khamis lalu.
A
A
A

TANJONG KARANG - Ahli keluarga merayu bantuan orang ramai mengesan seorang lelaki kurang siuman yang dilaporkan hilang sejak Khamis lalu.

Nor Asliya Aripin, 24, berkata, abangnya, Mohd Adhaar Aripin, 37, dikesan hilang dari tempat tidur semasa berada di rumah bapa saudaranya di Kampung Sri Jugra Banting, kira-kira jam 1 pagi.

Menurutnya, abangnya itu ada menyatakan hasrat pulang ke rumah keluarga di Tanjong Karang, tetapi sehingga kini gagal dikesan.

"Mungkin andaian kami, abang ada di sekitar Banting atau telah menaiki bas menuju ke Klang, Kuala Selangor dan Tanjong Karang.

"Sehingga hari ini, abang masih belum ditemui dan kami bimbang keselamatannya lebih-lebih lagi dia alami masalah mental," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Nor Asliya yang menetap di Lorong 11, Kampung Sungai Sireh di sini berkata, kehilangan Mohd Adhaar memberi kesan emosi kepada ibunya, Salamah Misron, 56.

"Mak (Salamah) tinggal bersama saya dan dia terlalu rindukan abang hingga hilang selera makan, kami bimbang kesihatannya merosot.

"Pelbagai usaha telah kami lakukan untuk mencari abang, namun hingga hari ini kami masih tidak menemui petunjuk," jelas anak keenam daripada tujuh beradik itu.

Artikel Berkaitan:

Menurut Nor Asliya, seluruh ahli keluarga tidak putus berdoa agar Mohd Adhaar selamat dan berharap pulang ke rumah.

Jelasnya, abangnya itu dikesan menghidap masalah mental sejak berusia 20-an dan kemudian menetap bersama bapa saudara sejak tiga tahun lalu.

"Asalnya abang memang tinggal bersama kami, tapi keadaannya tidak menentu dan kerap memberontak hingga kami meminta bantuan bapa saudara menjaganya," ujarnya.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang ternampak kelibat Mohd Adhaar melaporkan kepada balai polis terdekat atau menghubunginya di talian 016-3454481.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!