KOIKJ diharap dapat diperluas - Fadhlina

Fadhlina melawat reruai pameran pada perasmian Karnival Outreach Inklusif dan Kebolehanpasaran (KOIKJ) Madani Murid Berkeperluan Pendidikan Khas Negeri Johor Tahun 2023 di Aeon Mall Bandar Dato Onn hari ini. - Foto Bernama
Fadhlina melawat reruai pameran pada perasmian Karnival Outreach Inklusif dan Kebolehanpasaran (KOIKJ) Madani Murid Berkeperluan Pendidikan Khas Negeri Johor Tahun 2023 di Aeon Mall Bandar Dato Onn hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Karnival Outreach Inklusif dan Kebolehpasaran Madani Murid Berkeperluan Pendidikan Khas Negeri Johor (KOIKJ), yang menumpukan kepada kebolehpasaran dan kebolehkerjaan diharap dapat diperluas ke seluruh negara.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, karnival seumpama itu dilihat penting dalam usaha kerajaan mempertingkatkan kesedaran serta sinergi dalam komuniti berkenaan termasuk ibu bapa, terutamanya tentang keperluan mempelajari kemahiran selepas habis pembelajaran dalam sistem pendidikan.

"Sebab itu, saya sebutkan tadi antara tumpuan kita (KPM) selain daripada pendidikan inklusif, dari segi fasiliti dan latihan guru, kita juga menumpukan perhatian kepada satu lagi bidang baharu iaitu kemahiran untuk anak-anak ini.

"Jadi karnival ini bertujuan memperkenalkan kepada ibu bapa dan komuniti, kemahiran-kemahiran yang diperlukan oleh anak-anak kita ini apabila mereka habis dalam sistem pendidikan," kata beliau pada sidang media selepas perasmian KOIKJ Negeri Johor 2023 Aeon Dato Onn di sini hari ini.

Justeru, beliau menggalakkan komuniti dan ibu bapa menghadiri program seumpama itu supaya mendapat lebih banyak maklumat dan keterlibatan berkaitan kemahiran yang boleh dipelajari untuk anak-anak mereka.

KOIKJ 2023, yang menghimpunkan pihak industri, institusi pendidikan tinggi awam dan swasta, rakan strategik dan lain-lain lagi dilaksanakan bagi membantu meningkatkan kebolehpasaran dan kebolehkerjaan murid berkeperluan pendidikan khas.

Karnival selama dua hari dan berakhir esok, turut mempertandingkan 66 penyertaan inovasi daripada guru dan murid sekolah di negeri Johor. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!