Pengundi Melayu masih keliru kesepakatan Kerajaan Perpaduan - Mohd Zaidy

Mohd Zaidy (bertongkat) ketika meninjau cadangan lokasi pejabat DUN Jeram Padang di Rompin. - Foto Mohd Zaidy
Mohd Zaidy (bertongkat) ketika meninjau cadangan lokasi pejabat DUN Jeram Padang di Rompin. - Foto Mohd Zaidy
A
A
A

JEMPOL- Peratusan undi Melayu pada pilihan raya negeri (PRN) lepas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang dilihat sedikit merosot berbanding Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Tanpa memperincikan undian tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir berkata, ia mungkin disebabkan masing-masing masih keliru dan kurang faham mengenai Kerajaan Perpaduan yang dilaksanakan sejak tujuh bulan lalu.

"Alhamdulillah Barisan Nasional (BN) masih diterima di sini walaupun sebelum ini ada dakwaan mengatakan UMNO tidak akan menang berikutan kerusi ini adalah kubu kuat MIC, dan ternyata ia meleset sama sekali.

"Sokongan daripada masyarakat India juga menunjukkan peningkatan positif termasuklah Cina dan Orang Asli walaupun undian Melayu sedikit berkurangan selepas kita memperoleh beza 14 undi dengan pihak lawan di satu Pusat Daerah Mengundi (PDM) kawasan perkampungan Felda," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Pada PRN lalu, BN yang diwakili Mohd Zaidy berjaya memperoleh 5,462 undi sekali gus menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri S Surash yang juga Ketua Sayap Bersekutu Bersatu Negeri Sembilan yang mendapat 4,769 undi.

Dalam pada itu, Mohd Zaidy tidak menolak kemenangan BN ada kaitan dengan kerjasama Pakatan Harapan (PH) selain parti komponen BN yang memberi sokongan penuh ketika berkempen tempoh hari.

"MIC dan MCA banyak membantu terutamanya ketika saya terpaksa menerima rawatan di hospital selepas terbabit kemalangan ketika tempoh berkempen," katanya.

Sementara itu, mengenai perkembangan kesihatan, Mohd Zaidy berkata, beliau semakin pulih daripada kecederaan, namun keretakan pada kakinya memerlukan kira-kira dua hingga tiga bulan untuk pulih.

Artikel Berkaitan:

"Saya tetap meneruskan amanah yang diberikan rakyat DUN Jeram Padang terutama dalam memberi penjelasan terhadap kesepakatan dalam Kerajaan Perpaduan supaya mesej dan agenda yang hendak disampaikan selari antara kerajaan negeri dan pusat," katanya.

Katanya, pemandunya yang turut terlibat dalam kemalangan itu juga sudah beransur pulih.

"Tangan kirinya patah selain mengalami kecederaan pada bahagian tekak, tetapi dia sudah keluar hospital dan menjalani rutin harian seperti biasa," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!