Polis tahan lelaki Thailand, rampas pil yaba RM1.76 juta
![Muhamad Zaki (dua dari kanan) menunjukkan pil yaba yang dirampas di Kampung Kubang Kacang, Kota Bharu pada Jumaat.](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2023/08/20/2314420.jpeg)
KOTA BHARU - Polis Kelantan berjaya merampas 160,000 biji pil yaba bernilai RM1.76 juta yang diletakkan di dalam satu guni dan dua besen di Kampung Kubang Kacang di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian jam 7.45 malam, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan telah menahan seorang lelaki warga Thailand berusia 41 tahun yang sedang berdiri memegang satu guni berwarna putih di tangan kanannya.
Ketua Polis negeri, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, hasil siasatan awal mendapati lelaki terbabit merupakan bekas banduan yang baharu keluar dari penjara di negara jiran.
"Hasil pemeriksaan ke atas guni yang dipegang suspek telah menjumpai 17 bungkusan kekuningan setiap satu bertulis Y1 yang dipercayai mengandungi pil yaba sebanyak 100,000 biji.
"Hasil soal siasat ke atas suspek yang bekerja sebagai pembantu kedai itu membawa pihak polis ke sebuah stor di bahagian belakang rumah tersebut.
"Pemeriksaan lanjut telah menemui dua besen plastik berwarna biru di dalamnya mengandungi 60,000 biji pil yaba," katanya pada sidang akhbar di sini pada Ahad.
Menurut beliau, turut dirampas ialah sebuah kereta jenis Nissan Teano dan motosikal jenis Honda Scoopy bernombor pendaftaran Thailand bernilai RM27,500.
Ujarnya, kes tersebut akan disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!