Penggunaan masih rendah, KPDN tambah baik aplikasi Price Catcher
JOHOR BAHRU - Penggunaan aplikasi mudah alih, perbandingan harga 'Price Catcher' di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) masih rendah.
Pemangku menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, jumlah itu masih sedikit berbanding populasi negara dan bagi meningkatkan penggunaannya, KPDN akan menambah baik aplikasi digital berkenaan.
"Kita di peringkat KPDN telah memutuskan bahawa bagaimana kita dapat menambat baik aplikasi 'Price Catcher' ini supaya ia menjadi lebih informatif, lebih interaktif agar pengguna dapat menggunakan aplikasi ini sebagai panduan untuk mereka melihat, memantau dan membuat pilihan.
"Setakat ini, aplikasi ini dari segi muat turun adalah seramai 293,499 sahaja jika dibandingkan jumlah populasi kita. Yang kedua, kadar pelawat harian hanya sekitar 2,000 orang, sedangkan maklumat dalam itu sebenarnya cukup bermanfaat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Outreach Sara Hidup bawah inisiatif Rintis Bantuan Tanpa Tunai Pelajar Tingkatan Enam dan Diploma Kolej Vokasional peringkat negeri Johor 2023 di sebuah hotel di sini pada Ahad.
Armizan berkata, menerusi aplikasi berkenaan, pengguna dapat membuat perbandingan harga 480 item yang pemantauannya dibuat secara harian, mingguan serta bulanan bergantung kepada item tertentu.
Melalui aplikasi tersebut katanya, pemantauan dibuat di 1,500 premis di seluruh negara dan seorang pengguna boleh gunakannya dan dapat maklumat barangan pilihan mereka dalam radius 10 kilometer (km) bagi Semenanjung dan 20km bagi Sabah dan Sarawak.
"Minggu depan kita akan jumpa pemengang taruh dan meletakkan tempoh masa untuk meningkatkan penggunaan aplikasi ini dalam kalangan masyarakat," katanya.
Katanya, sejak dibangunkam pada 2018, aplikasi tersebut telah melalui dua proses penambahbaikkan sistem.
Menurutnya, penambahbaikkan kali ini akan dilakukan daripada segi promosi dan penglibatan sesi libat urus bersama pemegang taruh, pelanggan, persatuan pengguna dan pemain industri.
Tambahnya, KPDN tidak berpuas hati dengan jumlah 293,499 itu dan perbincangan telah dilakukan dan menjadi agenda untuk mendapatkan pandangan dan input daripada pemegang taruh KPDN berkenaan bagaimana caranya supaya aplikasi itu digunakan secara meluas.
"Setakat ini, aplikasi ini cukup baik tetapi mungkin bergantung kepada tahap kecelikan IT masyarakat kita, trend penggunaan yang lebih suka tidak membuat perbandingan harga.
"Itu sebabnya sebagaimana kita perkenalkan e-wallet, inisiatif lain termasuk dalam hal perbandingan harga ingin galakkan aplikasi secara digital yang jauh lebih berkesan dan boleh salurkan info tersebut dalam tempoh serta-merta untuk pengguna membuat pilihan," katanya.
Aplikasi mudah alih 'Price Catcher' itu mula dibangunkan sejak 2018 menggunakan platform Android dan iOS.
Aplikasi itu mempunyai lima komponen sama ada peringkat pasar basah, hyper market, super market, mini market dan kedai runcit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!