Fadzli cadang beri penghargaan buat keluarga Allahyarham Idris

Fadzli (kiri) berkongsi kesedihan kehilangan sahabat baiknya sambil ditenangkan oleh adik Allahyarham, Nurul Qomar pada Ahad.
Fadzli (kiri) berkongsi kesedihan kehilangan sahabat baiknya sambil ditenangkan oleh adik Allahyarham, Nurul Qomar pada Ahad.
A
A
A

BENTONG - Nasib keluarga dan kebajikan balu serta anak-anak Allahyarham Idris Abdol Talib @ Ramali, 41, mendapat perhatian Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal yang akan mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya memberikan penghargaan susulan khidmat Allahyarham Idris selama ini.

Menurutnya, perkara itu dikemukakan beliau sendiri kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bagi mengenang jasa Allahyarham sebagai kakitangan kerajaan negeri ini yang berkhidmat sebagai Ketua Unit Penguat kuasa di Pejabat Agama Islam Daerah Raub.

Allahyarham Idris kemudiannya bercuti tanpa gaji awal tahun ini selepas berkhidmat sebagai pegawai khas kepada Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun.

"Saya sendiri akan berjumpa dengan Menteri Besar Pahang dan mencadangkan perkara ini memandangkan jasa Allahyarham dalam kerajaan negeri Pahang.

"Kita dengar banyak kebaikan yang telah Allahyarham lakukan, jadi apa salahnya kita (kerajaan negeri) jaga kebajikan balu dan anak-anaknya pula," katanya.

Beliau ditemui selepas upacara pengebumian Allahyarham Idris di Tanah Perkuburan Islam Barak, di Benus dekat sini pada Ahad.

Menyifatkan Allahyarham Idris sebagai sahabat baik, Fadzli mengakui amat terasa dengan kehilangan tersebut kerana sikap dan ketelusan sikap Allahyarham sepanjang perkenalan mereka.

"Saya bersahabat baik dengan Deris (Allahyarham Idris). Dia banyak beri nasihat kepada saya terutamanya dalam politik nasional dan kawasan. Sejak dia bertukar ke Kuantan, kami jadi lebih rapat.

Artikel Berkaitan:

"Dia (Idris) juga prihatin dengan apa yang berlaku di sekelilingnya. Pada kita ia perkara biasa, tapi pada dia perkara itu sangat besar. Orang pun banyak bercakap baik mengenainya. Malah ramai kenalan dari jauh datang memberi penghormatan terakhir," jelasnya.

Bercakap mengenai kehadirannya dalam memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Idris, Fadzli berkata apa dilakukan itu tidak mencukupi jika dibandingkan dengan jasa Allahyarham.

"Tak cukup... tak cukup... Saya rasa saya akan merindui dia. Saya rindu teguran membina, teguran ikhlas dia.

"Saya wakil rakyat baharu, saya perlu teguran sebegini. Dia cakap yang sepatutnya saya dengar. Itu yang saya rasa sangat kehilangannya," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!