Nur Liyana Athirah graduan ke sejuta UiTM
SHAH ALAM - Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) pilihan pelajar lepasan sekolah apabila mencatat sejarah dalam Malaysia Book of Records (MBR) dengan penganugerahan skrol ke sejuta.
Penganugerahan sempena Majlis Istiadat Konvokesyen UiTM ke-97 itu diperakui MBR apabila graduan Fakulti Sains Gunaan, Nur Liyana Athirah Izani menjadi penerima skrol ke sejuta, sekali gus menjadi universiti pertama memahat kejayaan angka berkenaan.
Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Dr Roziah Mohd Janor berkata, pihaknya sangat berbangga dapat meraikan penganugerahan skrol ke sejuta pada konvokesyen kali ini.
''Ia satu angka yang boleh dibanggakan kerana mencerminkan UiTM telah menggerakkan misinya dengan tepat untuk menjuarai pembangunan Bumiputera profesional menerusi kurikulum paling hadapan dan penyelidikan berimpak," katanya ketika berucap pada sidang konvokesyen itu pada Ahad.
Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-97 berlangsung sejak 5 Ogos lalu dan dijadualkan berakhir pada 15 September depan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!