Isu banjir, ekonomi anak muda antara perancangan di Batu Tiga

Danial Al Rashid (dua dari kanan) selepas majlis Penyampaian Bengkung dan Sijil PSSGM di SMK Seksyen 19, Shah Alam pada Ahad.
Danial Al Rashid (dua dari kanan) selepas majlis Penyampaian Bengkung dan Sijil PSSGM di SMK Seksyen 19, Shah Alam pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Masalah banjir, projek pembangunan, menaik taraf infrastruktur dan memperkasakan ekonomi anak muda antara perancangan yang akan dilaksanakan bagi memajukan kawasan Batu Tiga, di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Tiga, Danial Al Rashid Haron berkata, perkara tersebut merupakan janji yang telah diucapkan dalam kempen pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos lalu dan akan diusahakan seberapa segera.

"Tiba sahaja musim tengkujuh pada hujung tahun, penduduk khuatir mengenai banjir yang melanda.

"Jadi kami akan mengambil langkah lebih awal dengan melaksanakan program mitigasi banjir bersama Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA)," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan majlis Penyampaian Bengkung dan Sijil Pertubuhan Seni Silat Gayong Malaysia (PSSGM) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 19 di sini.

Danial Al Rashid berkata, selain isu banjir, projek pembangunan yang melibatkan komuniti dan ekonomi anak muda turut diberi perhatian.

“Banyak aktiviti melibatkan golongan muda boleh digerakkan terutama kepada mereka yang bekerja dalam ekonomi gig seperti menyediakan pusat latihan bagi menggilap kemahiran mereka bagi menambah pendapatan,” katanya.

Tambah beliau, beberapa pertemuan juga telah dijalankan bersama MBSA bagi menyelesaikan beberapa masalah antaranya isu sampah.

Artikel Berkaitan:

“Dalam tempoh seminggu ini juga saya bertemu Pesuruhjaya Bangunan (COB) mengenai perkara berbangkit di pangsapuri dan juga masalah mendapan di Alam Prima.

“Alhamdulillah saya mempunyai hubungan baik dengan MBSA dan meminta agar beberapa perkara atau masalah yang diajukan pendudukan diteliti,” jelas beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!