Sri Pahang tenang ke suku akhir Piala Malaysia

Penjaga gol Harini, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy berusaha menghalang percubaan Sherman. - Foto: Sri Pahang FC
Penjaga gol Harini, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy berusaha menghalang percubaan Sherman. - Foto: Sri Pahang FC
A
A
A

JUARA empat kali Sri Pahang tenang memacu ke peringkat suku akhir Piala Malaysia selepas menewaskan kelab M3, Harini Selangor FT, menerusi agregat 5-2 dalam Pusingan 16 di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada Ahad.

Kemenangan 2-0 skuad kendalian Fandi Ahmad menyaksikan Tok Gajah melepasi ujian skuad kendalian P Maniam yang sebelum itu dijinakkan 3-2 dalam perlawanan pertama di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada 4 Ogos lalu.

Gol Tok Gajah dalam perlawanan itu dihasilkan David Rowley (m-19), Syazwan Andik Ishak (m-54) dan Baqiuddin Shamsudin (m-93).

Harini pula merapatkan jurang kedudukan menerusi jaringan Muhammad Fikri Mohamed Shah (m-59) dan Norshahrul Idlan Talaha (m-74).

Sri Pahang bermula garang selepas bekalan satu gol sebelum ini belum menjamin kelompok lapan terbaik kejuaraan berprestij bola sepak negara itu.

Namun tuan rumah hanya berjaya merobek gawang pasukan pelawat hasil sentuhan penyerang berbisa, Kpah Sherman pada minit ke-43 bagi memimpin perlawanan di separuh masa pertama.

Separuh masa kedua, anak buah Fandi meningkatkan tekanan serangan ke atas anak buah Maniam.

Hasilnya Sherman yang menjadi duri dalam daging buat pasukan pelawat akhirnya menoktahkan kemenangan Sri Pahang dengan jaringan minit ke-51.

Artikel Berkaitan:

Kemenangan itu membolehkan juara edisi 2013 yang menewaskan Kelantan 1–0 di Stadium Shah Alam berdepan juara empat kali Kuala Lumpur City di pentas lapan terbaik.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!