Benam England, Sepanyol juara Piala Dunia Wanita FIFA 2023

Sepanyol muncul juara selepas menewaskan England 1-0. - Foto AFP
Sepanyol muncul juara selepas menewaskan England 1-0. - Foto AFP
A
A
A

[DIKEMAS KINI] SATU nama baharu terukir pada trofi Piala Dunia Wanita FIFA apabila Sepanyol menjadi pasukan kelima merangkul gelaran itu selepas menewaskan England 1-0 di sini pada Ahad, lapor Xinhua.

Olga Carmona menjadi tumpuan perlawanan apabila jaringannya pada minit ke-29 sudah cukup memastikan Sepanyol menjadi negara kedua selepas Jerman menjulang kedua-dua kejuaraan Piala Dunia lelaki dan wanita, dengan pasukan lelaki Sepanyol memenanginya pada 2010.

Perlawanan berlangsung di Stadium Australia yang penuh sesak menyaksikan pertembungan dua pasukan yang memasuki final kejohanan itu buat kali pertama.

Pada aksi separuh akhir, England menyingkirkan tuan rumah bersama Australia 3-1, manakala Sepanyol telah mengatasi Sweden dengan kemenangan sukar 2-1.

Kedua-dua pasukan menampilkan persembahan seimbang dengan masing-masing mencipta peluang sejak wisel perlawanan ditiupkan.

Lauren Hemp hampir meletakkan England di depan pada minit ke-16, tetapi rembatan kaki kirinya terkena palang.

Tersentak dengan percubaan itu, Sepanyol bangkit melakukan serangan balas seminit kemudian apabila Alba Redondo melakukan rembatan yang ditepis penjaga gol England, Mary Earps.

La Roja akhirnya memecah kebuntuan apabila Carmona menyudahkan hantaran Mariona Caldentey dari sebelah kiri menerusi satu sepakan kencang mengatasi Earps.

Artikel Berkaitan:

Sepanyol berpeluang menggandakan jaringan apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan pemain England pada minit ke-64.

Bagaimanapun Earps muncul wira apabila menyelamatkan percubaan Jennifer Hermoso.

England turut mempunyai peluang terbaik menyamakan kedudukan menerusi pemain gantian James pada minit ke-76 namun percubaannya dinafikan Cata Coll yang cemerlang di gawang hingga wisel penamat.

Ini adalah penampilan ketiga Sepanyol dalam Piala Dunia Wanita, selepas mereka tersingkir di peringkat 16 terakhir empat tahun yang lalu, dan gagal melepasi peringkat kumpulan pada 2015. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!