Warga emas, remaja 16 tahun lemas ketika memancing

Mayat mangsa lemas dipercayai ketika memancing dalam kejadian di Sungai Simen, Jalan Rantau, Ladang Kombok pada Ahad.dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk bedah siasat. - Foto Bomba dan Penyelamat Balai Rantau
Mayat mangsa lemas dipercayai ketika memancing dalam kejadian di Sungai Simen, Jalan Rantau, Ladang Kombok pada Ahad.dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk bedah siasat. - Foto Bomba dan Penyelamat Balai Rantau
A
A
A

SEREMBAN - Dua lelaki masing-masing merupakan remaja dan warga emas ditemukan lemas dipercayai ketika memancing dalam kejadian di Sungai Simen, Jalan Rantau, Ladang Kombok di sini pada Ahad.

Mangsa dikenali sebagai A Vijay, 16, beralamat di Ladang Kombok dan kenalannya G Chanthiran, 60, dari Taman Bukit Merbok Ria, Rasah.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau, Pegawai Bomba Kanan 1 Mohd Syazwan Saidy berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.07 malam sebelum 10 anggota dari balai Rantau dengan 10 anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, mangsa pertama iaitu remaja berkenaan ditemukan oleh orang awam sebelum pasukan penyelamat sampai, manakala warga emas itu dijumpai pada jam 11 malam oleh PPDA.

"Penyelam kami dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Kemang menemukan mangsa kedua di dasar sungai dianggarkan tiga meter dengan jarak dari tebing 20 meter.

"Sebelum itu, pasukan penyelamat menyusur di tebing sungai anggaran jarak 300 meter dan membuat pencarian di permukaan air," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Katanya, mayat kedua-duanya telah diserahkan kepada pihak polis dan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban untuk tujuan bedah siasat.

"Operasi seterusnya ditamatkan pada jam 11.30 malam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Syazwan berkata, kehilangan kedua-dua mangsa itu disedari oleh abang remaja berkenaan selepas tidak pulang sejak petang Ahad.

"Berdasarkan maklumat awal yang kami terima, abangnya mencari mangsa di kawasan sungai itu sebelum menjumpai keperluan peribadi adiknya di lokasi, lalu menghubunginya dan terdengar deringan telefon di tebing sungai.

"Tiba-tiba dia ternampak jala di permukaan air dan niatnya cuba menarik jala lalu melihat adiknya itu berada di jaring dalam keadan terbelit dan menarik ke atas permukaan namun mendapati mangsa tidak bernyawa.

"Susulan daripada itu, dia menghubungi talian kecemasan MERS 999 untuk meminta bantuan pihak bomba," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!