Aaron-Wooi Yik janji persembahan terbaik di Copenhagen

Aaron (belakang) dan Wooi Yik sedia menggalas tanggungjawab dalam misi mempertahankan kejuaraan pada Kejohanan Dunia di Denmark.
Aaron (belakang) dan Wooi Yik sedia menggalas tanggungjawab dalam misi mempertahankan kejuaraan pada Kejohanan Dunia di Denmark.
A
A
A

JUARA dunia yang juga beregu nombor empat dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengakui menjadi tumpuan utama apabila saingan Kejohanan Badminton Dunia di Royal Arena, Copenhagen, Denmark menyingkap tirai pada Isnin.

Situasi itu jelas Aaron secara tidak langsung menghadirkan tekanan dan motivasi kepada mereka untuk menampilkan persembahan lebih meyakinkan apabila berdepan lawan yang lebih kompetitif.

“Ya, lawan lain juga menunjukkan peningkatan ketara sekali gus memberi cabaran kepada kami untuk mengekalkan kejuaraan sebelum ini.

“Sebagai juara bertahan tekanan itu sentiasa ada tetapi kami juga anggap satu motivasi. Apabila bergelar juara dunia, kami perlu ambil tanggungjawab dengan beri persembahan terbaik.

“Biarpun begitu, saya akui bahawa kelemahan paling ketara kami sekarang adalah tidak konsisten. Apa yang kami perlu lakukan sekarang adalah berusaha sekurang-kurangnya menampilkan prestasi terbaik kami,” katanya.

Aaron-Wooi Yik sebelum ini menghadiahkan kejayaan bersejarah kepada rakyat Malaysia apabila muncul juara dunia dalam Kejohanan Badminton Dunia 2022 di Tokyo, Jepun pada 28 Ogos tahun lalu.

Pada aksi final di Tokyo Metropolitan Gymnasium itu, Aaron-Wooi Yik menampilkan permainan hebat untuk menoktahkan kemenangan 21-19, 21-14 dalam tempoh 40 minit ke atas bekas juara dunia tiga kali dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan.

Kejayaan itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik melakar sejarah pemain badminton Malaysia pertama meraih gelaran juara dunia, yang dilakukan pada penampilan keempat di kejohanan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Sebagai rekod, Aaron-Wooi Yik mendapat bye di pusingan pertama akan bertemu pemenang perlawanan antara Jeppa Bay-Lasse Molhede (Denmark) menentang Ivan Rusev-Iliyan Stoyanov (Bulgaria) di pusingan kedua.

Ujian sebenar menanti beregu nombor satu negara itu apabila dijangka menentang juara Sukan Olimpik Tokyo 2020 dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin di pusingan ketiga.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!