Tangisan untuk si burung besi
MALAYSIA menangis lagi. Kali ini negara dikejutkan dengan tragedi pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Elmina, Seksyen U16, Shah Alam sehingga mengorbankan 10 nyawa pada Khamis lalu.
Dalam kejadian itu, pesawat yang membawa lapan penumpang termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai yang juga Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun jatuh menjunam di atas jalan raya sehingga menyebabkan seorang penunggang motosikal dan seorang pemandu kereta terkorban.
Pesawat berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada jam 2.08 petang dan mendapat kebenaran untuk mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang namun terhempas dua minit sebelum mendarat.
Hilang kawalan, muatan tidak stabil, kerosakan salah satu enjin atau kegagalan sistem teknikal mungkin antara punca pesawat milik Jet Valet Sdn Bhd itu terhempas.
Turut berkongsi pandangan, bekas Ketua Juruterbang Malaysia Airlines (MAS), Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussain yang memaklumkan bahawa pesawat tersebut mungkin hilang kawalan ketika berada pada kedudukan antara 1,500 kaki (457 meter) hingga 3,000 kaki (914 meter) sebelum mendarat.
Dalam keadaan masa amat singkat, juruterbang mungkin tiada masa untuk menilai apa yang terjadi dan membuat pergerakan sepatutnya serta tidak sempat menghantar sebarang isyarat kecemasan sebelum pesawat terhempas.
Melihat video pesawat terhempas yang tular di media sosial pada hari kejadian itu, terimbau kejadian pada tahun 2014 melibatkan pesawat MH370 dan MH17. Sukar untuk rakyat Malaysia melupakan tragedi melibatkan dua pesawat itu yang melibatkan ratusan nyawa.
Pada 8 Mac 2014, pesawat MH370 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Beijing namun hilang daripada skrin radar dua jam kemudian. Susulan itu, operasi mencari secara besar-besaran membabitkan beberapa negara dijalankan di kawasan berkeluasan berjuta-juta kilometer persegi di selatan Lautan Hindi namun pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang dan anak kapal itu gagal ditemukan dan kekal menjadi misteri sehingga hari ini.
Kisah MH17 tidak kurang tragisnya apabila pesawat itu ditembak jatuh ketika dalam penerbangan dari Amsterdam, Belanda ke Kuala Lumpur di ruang udara timur Ukraine pada 17 Julai 2014 sehingga menyebabkan semua 298 penumpang, sebahagian besarnya rakyat Belanda serta anak kapal terbunuh.
Walaupun kejadian terbaharu di Elmina tidak melibatkan ratusan nyawa yang terkorban, namun tatkala melihat wajah-wajah waris mangsa, perasaan sayu turut meruntun jiwa rakyat Malaysia.
Video dan gambar nahas pantas tersebar di semua medium media sosial. Semua berlumba untuk menjadi yang terawal berkongsi dan mahu melaporkan kejadian nahas itu sehingga mengabaikan perasaan keluarga mangsa terlibat.
Tidak salah untuk berkongsi namun gambar atau video yang terlalu tragis seeloknya tidak perlu untuk dikongsikan. Bayangkan jika waris keluarga mangsa melihat video berkenaan, apa perasaan mereka.
Malah, salah seorang keluarga mangsa memaklumkan kepada wartawan tidak membenarkan ibu mereka menonton video tular kerana tidak sanggup membiarkan hati orang tuanya sebak.
Haram sebar gambar aib
Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri turut tampil memberi teguran kepada warga maya.
Menurut beliau, tindakan menyebar video atau gambar mangsa yang rentung dalam tragedi tersebut adalah haram kerana akan melukakan hati keluarga dan mengaibkan maruah mangsa terlibat.
Tidak cukup dengan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga memberi peringatan bahawa sebarang perkongsian melibatkan gambar atau video mangsa tragedi nahas pesawat di Elmina boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Justeru, orang ramai diingatkan untuk menjaga sensitiviti dan mengelakkan diri daripada berkongsi gambar mangsa tragedi.
Sama-sama kita doakan moga dicucuri rahmat ke atas roh mereka yang terlibat dalam nahas pesawat di Elmina tempoh hari. Al-Fatihah.
* Farah Nabila Mohamed Saris ialah Penyunting Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!