TSG yakin mampu pertahan gelaran juara Asia
PASUKAN berbasikal bertaraf benua, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) yakin mampu mempertahankan gelaran selaku juara Asia dalam ranking Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) pada tahun ini.
Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus berkata, pihaknya juga optimis mampu melakar sejarah sebagai pasukan benua terbaik di dunia dengan berbaki 10 kejohanan sebelum berakhir musim 2023 pada bulan Oktober nanti.
"Kedudukan sekarang kita pasukan terbaik Asia dan juga pasukan benua terbaik dunia daripada 179 pasukan.
"Kedudukan keseluruhan kita berada di tangga ke-32 daripada 220 pasukan untuk ranking dunia. Ini (kedudukan) kita cuba pertahankan sehingga akhir musim iaitu pada 25 Oktober.
"Masih ada lagi 10 perlumbaan UCI termasuk di Eropah, China dan Jepun yang kita sertai di mana ia bertaraf 2.0, 2.1 dan 2.2 bagi mengutip mata," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Ahad.
Sementara itu, Nasiruddin berkata, pihaknya sedang membuat persiapan rapi bagi menghadapi perlumbaan bertaraf 2.0 iaitu Le Tour de Langkawi yang dijadualkan berlangsung pada pertengahan September depan.
"Bagi kejohanan Le Tour de Langkawi pada tahun ini, Insya-ALLAH... kita akan bariskan tiga pelumba tempatan dan tiga pelumba import.
"Terdapat sedikit perubahan sasaran berdasarkan pada laluan yang dibuat tahun ini. Kita sasarkan sekurang-kurangnya satu podium serta mengekalkan satu daripada dua jersi yang dimenangi tahun lalu.
"Mengenai senarai nama enam pelumba tersebut, kita akan umumkan pada majlis yang diadakan pada 2 September depan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!