Penjawat awam negara jiran antara lapan pelacur asing ditahan

Antara wanita warga asing yang ditahan kerana terlibat dengan aktiviti persundalan.
Antara wanita warga asing yang ditahan kerana terlibat dengan aktiviti persundalan.
A
A
A

GEORGETOWN - Lapan wanita warga asing termasuk seorang penjawat awam di negara jiran ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam aktiviti persundalan melalui aplikasi WeChat.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kesemua wanita yang ditahan berusia antara 25 hingga 47 tahun itu ditahan dalam Op Noda yang dilakukan pihaknya bersama Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada Jumaat lalu.

Menurutnya, hasil siasatan dibuat mendapati kumpulan wanita terbabit mencari pelanggan menerusi aplikasi sosial dan mengenakan bayaran antara RM150 hingga RM250.

"Serbuan dilakukan di tujuh lokasi membabitkan beberapa premis hotel murah, rumah tumpangan dan apartmen di sekitar daerah Timur Laut.

"Hasil dari operasi berkenaan, kita telah merampas pelbagai peralatan yang digunakan bagi menjalankan aktiviti persundalan dan wang tunai berjumlah RM2,200," katanya menerusi kenyataan di sini pada Isnin.

Terdahulu, laporan mengenai serbuan itu tular di media sosial yang mendakwa seorang daripada wanita terbabit berstatus isteri kepada pegawai penjawat awam berpangkat besar di luar negara.

Soffian berkata, siasatan mendapati seorang daripada wanita yang ditahan mengaku sebagai penjawat awam di sebuah negara jiran.

"Wanita itu mendakwa datang ke negara ini bagi menjalankan aktiviti persundalan untuk memperoleh pendapatan tambahan.

Artikel Berkaitan:

"Semua mereka ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan ditempatkan di Lokap Berpusat Bayan Baru bagi tindakan lanjut," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan peraturan 39b Peraturan-peraturan Imigresen 1959.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!