Istana Johor tak pernah buat laporan polis

Paparan skrin akaun rasmi Twitter Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.
Paparan skrin akaun rasmi Twitter Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMASKINI] Istana Johor tidak pernah membuat laporan polis sejak dahulu sehingga kini, kata Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.

Perkara itu dinyatakan oleh beliau menerusi akaun Twitter rasminya HRH Crown Prince of Johor di sini hari ini.

Difahamkan, perkara yang dinyatakan berkaitan penahanan seorang penggiat media sosial, Firdaus Abdillah Hamzah atau @Pipiyapong semalam, dipercayai tindakannya memuat naik status menghina Tunku Ismail di Twitter.

Tunku Ismail berkata, sekiranya ada laporan polis, ia berkemungkinan daripada pihak lain.

"Salam Jumaat. Istana Johor tidak pernah buat report dari dulu hingga ke hari ini. Jikalau ada report ia kemungkinan dari pihak lain.

"This have nothing to do with us and please pada bulan yang mulia ini, saya sekeluarga ingin menjalankan tugas kami bersama rakyat dan beribadah. Terima kasih," katanya dalam Twitter tersebut.

Baginda berkata demikian sebagai menjawab satu Twit yang bertanya sama ada penahanan tersebut berdasarkan laporan daripada pihaknya atau lain.

Twit daripada @RimauXI itu juga mengharapkan pertimbangan Tunku Ismail yang mempunyai locus standi untuk menitahkan pihak tersebut menarik balik laporan yang dibuat.

Artikel Berkaitan:

Penahanan penggiat media sosial itu turut mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menzahirkan kekesalan terhadap insiden tersebut.

Sementara itu, dalam twit berasingan, Tunku Ismail memohon izin kepada ALLAH SWT untuk membolehkan dirinya sekeluarga menjalani ibadah puasa dan terus berkhidmat kepada rakyat.

"Dengan nama ALLAH Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Pada bulan yang mulia ini, izinkan kami sekeluarga menjalani ibadah puasa dan terus berkhidmat kepada rakyat.

"Janganlah kaitkan kami dengan isu-isu atau sebarang fitnah. Semoga ALLAH memberkati kita semua. Amin," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: PM kesal penggiat media sosial ditahan

Terdahulu, Dr Mahathir melahirkan kekesalan terhadap penahanan seorang penggiat media sosial, malam tadi.

“Saya dimaklumkan bahawa pihak berkuasa telah membuat satu tangkapan terhadap seorang penggiat media sosial malam tadi. Seperti yang pernah saya tekankan sebelum ini, tidak ada mana-mana pemimpin di Malaysia yang bebas dari kritikan,” katanya di laman Twitter beliau, hari ini.

Perdana Menteri menegaskan rakyat bebas untuk mengkritik pemimpin jika perlu, dan kebebasan bersuara adalah penting dalam sesebuah (negara) demokrasi.

“Kecuali ugutan, fitnah, atau penghinaan terhadap raja-raja yang memerintah, mana-mana pemimpin boleh dikritik tanpa mengakibatkan terjejasnya hak rakyat untuk bersuara,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!