Barcelona temui sentuhan kemenangan
DUA gol lewat perlawanan nukilan Pedri dan Ferran Torres membolehkan penyandang juara Barcelona melakar kemenangan pertama musim ini selepas menjinakkan Cadiz 2-0 di Stadium Olimpik Lluis Companys.
Stadium Olimpik Lluis Companys merupakan venue terkini Barcelona musim ini sementara gelanggang keramat Camp Nou mengalami pengubahsuaian yang dijangka siap penghujung 2024.
Tiga mata berharga diraih anak buah Xavi Hernandez penting selepas permulaan mengecewakan gergasi Sepanyol itu terikat tanpa jaringan menentang Getafe di Coliseum Alfonso Perez pada 14 Ogos lalu
Namun kecemerlangan penjaga gol Cadiz, Conan Ledesma telah berjaya menafikan deretan percubaan mesin gol Barcelona yang diketuai Robert Lewandowski dan Jules Kounde.
Ledesma juga menampilkan persembahan memukau apabila menafikan dua sentuhan awal daripada penyerang berusia 16 tahun, Lamine Yamal, yang membuat penampilan pertamanya untuk Barcelona menggantikan Raphinha yang digantung.
Yamal sebagai rekod menjadi pemain termuda yang membuat permulaan LaLiga pada abad ke-21, mengatasi rekod milik Fabrice Olinga pada September 2012 bersama Malaga.
Pelawat kembali agresif pada separuh masa kedua menerusi sentuhan Roger Marti, namun penyudah tumpul menyaksikan Cadiz berputih mata.
Barca akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-83 menerusi Pedri yang menyudahkan sentuhan Ilkay Gundogan sebelum Torres yang dimasukkan memantapkan kedudukan dengan jaringan minit ke-94.
"Pergerakan bola dalam perlawanan ini seolah-olah tidak akan mencecah jaring, namun akhirnya gol diusahakan berjaya masuk.
“Ya, kami meramalkan ia hari untuk mengekalkan banyak penguasaan dan pada separuh masa kedua kami lebih bersabar, lebih baik dalam permainan posisi, mengambil risiko dan hantaran dari Gundogan kepada Pedri memberikan kami tenaga yang kami perlukan selepas itu,” kata Hernandez.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!